GAMBAR kenangan bersama keluarga.
GAMBAR kenangan bersama keluarga.
Oleh Ain Muslimin

Salam perkenalan dari aku, si bongsu daripada empat orang adik-beradik. Membesar dan menetap di Selangor sehingga sekarang. Di sinilah rumah dan kampung aku. Sunyi? Tidak.

Meskipun hanya ada enam orang dalam keluarga kami, bulan Syawal selalu menjadi momen yang penuh kebahagiaan.

Tiada kata suram meskipun keluarga aku tidak sebesar keluarga lain. Hari raya ialah hari yang meriah. Rumah sentiasa dipenuhi dengan gelak tawa.

Tak pernah lekang dek pergaduhan manja antara kami sekeluarga. Kekecohan biasa yang tanpa aku sedar membawa kebahagiaan.

Kami semua selalu berkumpul di rumah, membuat persiapan pagi raya bersama sambil bergelak tawa dengan cerita tentang masa lalu dan mengenang kenangan indah bersama.

Setiap sudut rumah ini sentiasa dipenuhi dengan riuh-rendah, suara ceria, aroma masakan khas raya yang sangat menggoda dan senyum bahagia orang orang yang aku cintai.

Namun, Aidilfitri yang biasanya penuh tawa dan canda kini menjadi sunyi dan canggung untuk aku beberapa tahun ini.

Masih terngiang-ngiang suara tawa riang yang bergema di setiap sudut rumah yang kebiasaannya menjadi penghias raya. Kini semua itu menjadi kenangan yang menyakitkan untuk aku.

Kehilangan ibu dan abah yang sangat aku cintai membuat raya tidak pernah sama bagi aku.

Kalau dulu tiada kata suram, kini raya aku hanya ditemani dengan perasaan kosong.

Tahun pertama ibu dan abah pergi, hidangan raya aku ialah mi segera sambil mengenakan pakaian tidur sebagai busana hari raya ditemani suara gelak tawa keluarga aku yang aku lihat di alam maya.

Tak dapat dijelaskan betapa kosongnya raya aku tanpa mereka di sisi.

Along, angah dan alang yang biasanya pulang untuk merayakan hari bahagia bersama juga sudah dua tahun tidak hadir.

Mungkin mereka juga masih dalam proses menyembuhkan luka kehilangan yang sama. Cuma ada masa aku seperti ingin merayu untuk mereka pulang kerana aku masih perlukan mereka di sisi.

Tetapi memikirkan mereka juga ada keluarga sendiri membuat aku berasa segan untuk menyatakan hasratku yang satu itu.

Hingga ke hari ini, masih tiada apa yang berubah. Aku masih lagi ditemani kesepian di tengah rumah yang sunyi tanpa kehadiran mereka. Walau sekeras apapun aku berusaha untuk merayakannya seperti dahulu, tetapi keheningan yang menyelimuti masih membuat aku hampa.

Hanya saja aku dapat mengadu dan menangis di dalam pelukan ibu, mungkin hilang sedikit rasa sunyi ini bukan?

"Ibu, abah. Adik rindu. Adik rindu raya macam dulu, Adik rindu masakan ibu. Selamat hari raya ibu, abah."

Ya hanya saja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 7:54 AM