GAMBAR kenangan Syuhada (kiri) bersama arwah bapanya (kanan) yang meninggal dunia pada hari raya kedua.
GAMBAR kenangan Syuhada (kiri) bersama arwah bapanya (kanan) yang meninggal dunia pada hari raya kedua.
Norhayati Nordin

SEHARI selepas meraikan Aidilfitri baru-baru ini, penyanyi Syuhada Md Amin, 24, akur dengan hakikat kehilangan bapa tersayang, Md Amin Bahari, 66, yang 'pergi' buat selamanya.

Syuhada pernah dikenali dengan lagu Bukan Dia dan Tak Kena berkata, Allahyarham bapanya meninggal dunia di rumah, jam 4.50 petang Isnin lalu akibat menghidapi masalah jantung, buah pinggang dan kencing manis.

"Arwah abah sudah sakit sejak tiga tahun lalu. Cuma, tak sangka abah akan meninggalkan kami sekeluarga dalam suasana meraikan Aidilfitri. Kesihatan abah pun nampak stabil sepanjang di rumah.

"Tiada tanda-tanda pelik ditunjukkan abah sebelum arwah pergi meninggalkan kami sekeluarga buat selamanya. Selama sakit, kami adik beradik pun menjaga abah dengan baik dan mengharapkan dia cepat sembuh," katanya.

Menurut Syuhada, walau pun sedih dia bersyukur urusan jenazah bapanya dapat diurus dengan lancar dan dipermudahkan segalanya oleh Allah SWT.

"Kehilangan abah sebenarnya pertama kali saya dan keluarga diuji dengan dugaan yang besar ini.

Tak dinafikan, kematian abah sangat dirasai kami sekeluarga terutama ibu saya, Habibah Raja Tan, 59.

"Untuk saya sendiri yang selama ini meluangkan banyak masa menjaga abah ketika sakit bersama ibu, sangat perlukan masa untuk menerima keadaan ini yang berbeza tanpa abah di sisi.

"Apatah lagi, dalam pembabitan kerjaya nyanyian saya sejak menjuarai Idola Kecil musim pertama ketika berusia 12 tahun, abah banyak memberikan semangat dan sokongan padu," katanya.

Syuhada berkata, arwah bapa juga yang berperanan menerapkan minatnya pada muzik termasuk mengajar dia menjadi seorang yang kuat semangat

dan jangan mudah berputus asa jika masih belum berjaya.

Ujarnya, meskipun sedar hingga kini masih terkial-kial membina nama dan mengetengahkan bakat, dia akan terus berusaha. Katanya, kejayaan seseorang ada yang cepat diperoleh dan tak kurang juga harus melalui dugaan berliku.

"Saya akan terus positif berbekalkan semangat, keyakinan dan restu yang ditinggalkan oleh arwah abah. Bagi saya, kejayaan pun takkan datang bergolek tanpa usaha yang gigih," katanya.

Sehubungan itu, Syuhada memaklumkan jenazah bapanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih di ibu kota. Katanya, semoga roh arwah dicucuri rahmat di sisi Yang Esa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 6:15 AM