BERGSON meledak jaringan sulung untuk JDT hari ini. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
BERGSON meledak jaringan sulung untuk JDT hari ini. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim bermula dengan langkah kanan dalam aksi pertama Liga Super selepas mencipta kemenangan 3-1 menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini, sebentar tadi.

Agak menarik pada perlawanan itu apabila pengendali JDT, Hector Bidoglio yang menggunakan formasi 4-5-1 tidak menurunkan ayam tambatan Ariff Aiman Hanapi, sebaliknya posisi sayap kanan diisi Oscar Arribas.

Selepas mengasak bertubi-tubi akhirnya gol yang dicari menjelma pada minit ke-12 berpunca daripada bola lorongan Juan Muniz membuka ruang buat Bergson Da Silva melalukan rembatan kencang dari luar kotak menewaskan Aqil Abdul Razak untuk JDT mendahului 1-0.

Bergson sekali lagi mencetak nama selaku penjaring gol buat JDT pada minit ke-17 apabila menyudahkan umpanan Muniz bagi memastikan skuad Harimau Selatan selesa dengan kedudukan 2-0.

Bagaimanapun, kelekaan benteng tuan rumah menyaksikan NSFC berjaya merobek gawang Harimau Selatan pada minit ke-27 selepas gerakan solo Takami Sasaki yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti cuba dihalang Feroz Baharuddin namun Hein Htet Aung bertindak pantas dengan merembat bola leret menewaskan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Malang buat JDT apabila gagal lagi menambah jaringan ketika memasuki minit ke-57 selepas bola sepakan percuma Heberty Fernandes yang melencong tepat ke gawang gol ketika Muhamad Aqil sudah tertewas tapi bola sekadar singgah ke kiri tiang gol .

Ketika aksi memasuki minit ke-70, berpunca daripada bola sepakan sudut Muniz menuju tepat kepada Matthew Davies yang menanduk bola kepada kapten, Jordi Amat bagi melakukan tandukan susulan menewaskan Muhamad Aqil dan kedudukan 3-1 memihak JDT kekal hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 7:55 PM