SELEPAS sepi seketika, Tajul Arif muncul dengan lagu solo baharu, Izinkan Aku.
SELEPAS sepi seketika, Tajul Arif muncul dengan lagu solo baharu, Izinkan Aku.
Norhayati Nordin


TERASA agak lama penyanyi Tajul Arif menyepi diri. Bapa muda yang memiliki seorang anak ini, seolah-olah 'hilang' daripada radar industri hiburan buat seketika.

Ditambah, ketika negara masih dilanda penularan Covid-19 dan aktiviti persembahan nyanyian secara terbuka dibatalkan penganjurannya.

Apapun, yang pasti kerjaya nyanyian Tajul atau nama sebenarnya Tajul Arif Noor Md Shari, 22, masih wujud dan buktinya anak bongsu daripada 10 beradik ini muncul dengan lagu baharu berjudul Izinkan Aku.

Menariknya lagu ini adalah kerjasama antara Tajul dengan komposer dan penyanyi, Tuah Adzmi. Bahkan, lagu hasil ciptaan Tuah ini turut mendapat sentuhan lirik yang ditulis oleh Tajul

Berbicara mengenai lagu Izinkan Aku, Tajul berkata dalam karya muzik bergenre balada itu menampakkan sisi kematangannya.

Ujarnya, status sebagai suami dan bapa digalas membuat dia lebih bahagia dan bertanggungjawab.

"Alhamdulillah, kehidupan saya kini lebih teratur dan bahagia, sejak dikurniakan cahaya mata. Saya rasa lebih bersemangat untuk tingkatkan kerjaya seni ini demi kehidupan selesa buat isteri dan anak.

"Saya mahu mereka menikmati hidup senang sepanjang di sisi dan selaku ketua keluarga wajar untuk saya terus berusaha memantapkan kerjaya seni yang dibina hampir lima tahun lalu.

Tajul yang juga adik kepada Allahyarham Achik Spin mula aktif dalam karier nyanyian pada 2016. Hingga kini, Tajul sudah menghasilkan sekitar 10 buah lagu merangkumi karya solo, duet dan lagu sempena Aidilfitri.

Lagu Izinkan Aku juga sudah dilancarkan di semua saluran digital pada 24 Disember lalu, termasuk video muziknya di saluran YouTube FMC Music yang setakat ini sudah mencecah lebih 56,000 tontonan.

Menurut Tajul, dia berasa gembira walaupun kali pertama kali bekerjasama dengan Tuah. Ujarnya, Tuah sangat berbakat dalam penciptaan lagu dan melodi lagu dihasilkan amat kena dengan jiwanya dan menyentuh kalbu.

"Lagu Izinkan Aku berkisar tentang cinta dan perjalanan kehidupan Tajul yang sudah berkeluarga. Bagaimanapun, ada kejadian berlaku di sebalik tabir ketika rakaman vokal lagu ini di jalankan.

"Saya sebenarnya taknak sebut tentang hal ini, sebab tak suka besarkan perkara remeh. Tapi, kalau masih nak bermasam muka itu hak dia. Bagi saya, lebih selesa bersikap profesional sahaja," katanya.

Jelas Tajul lanjut, dia dan Tuah berselisih faham sewaktu sesi rakaman lagu Izinkan Aku berlangsung apabila mereka saling bertikam lidah dan hampir bertumbuk. Apapun, perkara itu berlaku di luar jangkaan.

Kini, Tajul nekad berusaha mempromosikan lagu Izinkan Aku dengan sebaiknya. Sempena kedatangan tahun baharu beberapa hari lagi, Tajul berharap hubungan persahabatan dengan Tuah kembali jernih dan mereka berbaik-baik semula.

Tajul yang berkahwin ketika berusia 18 tahun dengan wanita pilihannya dikenali Nurul Shamieza, kini memiliki seorang anak perempuan, Adriana Carissa yang berusia setahun dua bulan. Sebelum ini, Tajul juga pernah popular dengan lagu Sedalam Rindu serta lagu Di Sana Cinta Di Sini Rindu (duet Wany Hasrita).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 6:12 AM