ANGGOTA APM mengangkat wanita warga emas selepas kawasan rumahnya di Kampung Gapam, Jasin dilanda banjir kilat. FOTO Ihsan APM Melaka.
ANGGOTA APM mengangkat wanita warga emas selepas kawasan rumahnya di Kampung Gapam, Jasin dilanda banjir kilat. FOTO Ihsan APM Melaka.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Sekurang-kurangnya 22 rumah penduduk terjejas banjir kilat di dua kawasan di negeri ini susulan hujan lebih dua jam, hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA), Kamarulsyah Muslim berkata, kawasan terjejas adalah Kampung Gapam dalam Dewan Undangan Negeri Bemban selain Kampung Bukit Tambun, Kampung Parit Melana dan Kampung Bukit Balai di Durian Tunggal.

"Setakat jam 6.30 petang, sebanyak 16 rumah penduduk di kawasan rendah di Kampung Gapam dinaiki air yang melimpah dari sungai dan parit.

"Turut terjejas masing-masing tiga rumah di Kampung Bukit Tambun dan Kampung Bukit Balai, namun setakat ini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarulsyah berkata, berikutan paras air yang terus meningkat, tiga keluarga membabitkan enam mangsa termasuk dua orang kurang upaya (OKU) dari Bukit Tambun dipindahkan sementara di Balairaya Bukit Tambun sehingga air surut.

"Selain itu sebuah keluarga dari Kampung Bukit Balai membabitkan 12 mangsa pula ditempatkan sementara di Balairaya Bukit Balai," katanya.

Beliau berkata, ketika ini anggota APM menjalankan pemantauan rapi di kawasan terjejas dan orang ramai diminta peka dan mengikuti arahan pasukan penyelamat bagi mengelak sebarang risiko banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 8:27 PM