ANGGOTA APM Alor Gajah dan polis memindahkan penduduk di Kampung Gadek. FOTO APM
ANGGOTA APM Alor Gajah dan polis memindahkan penduduk di Kampung Gadek. FOTO APM
Meor Riduwan Meor Ahmad

Alor Gajah: Bencana banjir semakin kerap berlaku di daerah ini apabila seramai 29 penduduk dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Melaka merangkap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, seramai 29 mangsa membabitkan 10 keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Gadek dan Balai Raya Bukit Balai Durian Tunggal di sini, setakat jam 8 pagi tadi

"Hujan berterusan sejak petang semalam menyebabkan kediaman mangsa dinaiki air.

"Kedua-dua PPS itu menempatkan mangsa dari Kampung Kuala Sungga Tebong, Kampung Orang Asli Hutan Percha, Kampung Gadek, Kampung Bukit Tambun dan Kampung Bukit Balai," menurut kenyataan itu.

Menurutnya, kesemua mangsa dipindahkan ke PPS itu selepas air sungai melimpah di kawasan penduduk yang rendah.

Kamarulsyah berkata, agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Alor Gajah menjalankan pemantauan berterusan di kawasan terjejas.

Pada 31 Oktober lalu, seramai 16 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Belimbing Dalam, Alor Gajah, akibat banjir yang berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 12:23 PM