PETUGAS kesihatan menjalankan pemeriksaan terhadap di PPS Balai Raya Bukit Balai. FOTO Ihsan APM Alor Gajah
PETUGAS kesihatan menjalankan pemeriksaan terhadap di PPS Balai Raya Bukit Balai. FOTO Ihsan APM Alor Gajah
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Seramai 28 mangsa daripada lapan keluarga kini berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Bukit Tambun dan Balai Raya Bukit Balai di Durian Tunggal, dekat sini, susulan banjir kilat berlaku awal pagi tadi.

Difahamkan hujan lebat berterusan sejak 3 pagi menyebabkan 23 kampung di kawasan rendah dan berhampiran sungai di negeri ini dinaiki air membabitkan ketiga-tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, kedua-dua PPS itu dibuka bermula 1 tengah hari bagi menempatkan penduduk terjejas dari Kampung Bukit Balai, Kampung Bukit Tambun dan Kampung Pulau.

Menurutnya, setakat 8 malam ini, 28 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di kedua-dua PPS terbabit.

"Bagi pecahan mangsa, seramai lapan orang daripada empat keluarga berada di Balai Raya Bukit Tambun, manakala PPS Balai Raya Bukit Balai menempatkan 20 mangsa daripada empat keluarga," katanya dihubungi di sini.

Kamarulsyah berkata, keseluruhannya sebanyak 23 kawasan terjejas banjir di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 10:53 PM