Kamarulsyah bersama Nor Farhani bertanya sesuatu kepada mangsa banjir di PPS Japerun Durian Tunggal, malam tadi- Foto ihsan APM Melaka
Kamarulsyah bersama Nor Farhani bertanya sesuatu kepada mangsa banjir di PPS Japerun Durian Tunggal, malam tadi- Foto ihsan APM Melaka
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seramai 51 penduduk daripada 13 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balairaya Japerun Durian Tunggal, setakat jam 8 pagi ini, akibat banjir kilat di beberapa kawasan di Alor Gajah, malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, semua mangsa berkenaan dari tiga kampung di Durian Tunggal iaitu Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau dan Kampung Bukit Tambun.

Menurutnya, hujan lebat lebat lebih dua jam sejak 4 petang semalam menyebabkan air parit dan sungai melimpah ke kawasan rendah.

Katanya, bagi mengelak sebarang risiko, 13 keluarga terbabit akur untuk berpindah sementara ke PPS berkenaan yang diaktifkan 9 malam.

Sementara itu, beliau berkata, antara kawasan lain yang terjejas di daerah Alor Gajah ialah Kampung Tabuh Naning, Pekan Lubuk China, Kampung Sungai Jernih, Taman Masjid Tanah Ria, Kampung Brisu dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Durian Tunggal.

Beliau berkata, pada masa sama, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meneruskan pemantauan rapi di kawasan terjejas dan orang ramai diminta peka dan mengikut arahan pasukan penyelamat bagi mengelak sebarang risiko banjir.

Terdahulu, Kamarulsyah bersama Timbalannya, Mejar (PA) Nor Farhani Mat Husin, turut meninjau operasi di PPS berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 9:08 AM