FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Kuala Lumpur: Individu yang berada dalam kesunyian mudah terdedah kepada masalah 'penyakit curang' khususnya menerusi platform laman sosial.

Pakar Psikologi yang juga Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, walaupun sudah mempunyai pasangan hidup, namun individu yang curang ini lazimnya merasai hubungan mereka membosankan dan tidak lagi memberikan kebahagiaan yang diingini.

"Mereka merasakan tidak puas dari segi emosi, komunikasi serta fizikal disebabkan perubahan usia dan sebagainya.

"Oleh itu mereka mencari 'pengganti' bagi memenuhi keperluan itu melalui laman sosial dan kemudiannya menyebabkan masalah curang berlaku dalam perhubungan suami isteri," katanya.

Mengulas lanjut Shazli berkata, kes curang dalam rumahtangga juga berlaku apabila seseorang individu itu mengalami masalah kekurangan kasih sayang dan cinta terhadap dirinya sendiri serta pasangan.

Mereka mengalami ketidakseronokan dengan hubungan sedia ada, rasa tidak dihargai, mahu rasa diingini, komitmen terhadap hubungan sudah kurang, isu hubungan seksual serta ketagihan pornografi.

Kata Shazli, seseorang yang kurang kasih sayang akan menyebabkan dirinya mengalami masalah dalam meletakkan kemesraan, keghairahan dan komitmen untuk berperanan di tempat yang betul.

Katanya, keadaan itu mendorong golongan ini cuba memenuhkan kepuasan emosi dengan menjalinkan hubungan dengan orang luar.

"Mereka juga sukar untuk mengelolakan konflik kerana cepat buntu apabila adanya masalah termasuk dari segi cara berkomunikasi dengan baik dan seringkali sukar untuk menyatakan apakah keperluan dan kehendak dalam perhubungan selain sering mengambil sikap melarikan diri daripada masalah.

"Jika perlu, mereka harus mendapatkan bantuan profesional dari ahli psikologi atau kaunselor," katanya.

Mengulas mengenai perbuatan curang berkali-kali yang dikaitkan dengan ketagihan, Shazli berkata, ketagihan berlaku apabila seseorang itu terlalu obses untuk curang dengan pasangan tanpa mengira masa.

Kata beliau, golongan terbabit tidak dapat mengawal dorongan untuk terus terbabit dalam aktiviti walaupun mereka menyedari akan kesannya pada diri, kesihatan dan kesejahteraan sejagat.

Ini kerana katanya, jika tidak melakukan kecurangan, maka seseorang itu akan mengalami keresahan, gangguan emosi, pemikiran dan tingkah laku.

"Tingkah laku kompulsif ini dipengaruhi juga oleh perubahan dalam hormon dopamine dalam otak.

"Ini kerana rembesan hormon dopamine menyebabkan mereka berasa seronok, ceria dan bertenaga serta mendapat kepuasan emosi yang bersifat sementara.

"Seseorang yang mengalami tekanan rumah tangga mungkin akan mencari pengalaman untuk curang kerana ia dapat merasa lebih baik secara sementara," katanya.

'Tergolong perkara laknat 'lacur maruah' pasangan'

Suami atau isteri yang menyertai laman sembang berkumpulan di media sosial boleh termasuk dalam perkara laknat jika tiada rasa segan silu 'melacurkan maruah' pasangan masing-masing. 

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muhammad Yusry Affandy Md Isa al-Hafiz berkata, hukum asal suami dan isteri berinteraksi dengan pihak lain adalah harus seperti untuk tuntutan muamalat, kerja, persahabatan dan sebagainya yang perlu diraikan. 

  "Namun  apabila 'sembang-sembang' sudah terkeluar sempadan, maka ia sudah mencapai murka Allah dan tiada pahala mahupun kebaikan," katanya.

Muhammad Yusry berkata, ada segelintir individu semakin berani apabila secara terang-terangan mengajak ke kancah terlarang menerusi media masa.

"Ini  adalah penyakit jahiliah era moden. Seandainya pasangan mempunyai keaiban atau kekurangan peribadi, janganlah 'menjual' nama suami atau isteri pada tempat yang salah. 

  "Ia tidak akan menyelesaikan masalah bahkan menambahkan lagi konflik apabila individu terbabit menunjukkan ketidakmatangan di media sosial.  

"Belajarlah mengawal emosi serta fahami  tujuan hidup selaku orang Islam yang beriman. Ada perkara boleh dan ada perkara perlu ditinggalkan," katanya.

Menurutnya, individu yang terjebak dengan maksiat melalui media sosial wajib segera bertaubat.

"Kaedah agama menegaskan sesuatu yang membawa kepada maksiat atau perkara keji, maka 'platform' atau wasilahnya pun juga adalah haram," katanya.

  Menurut Muhammad Yusry lagi,  Islam adalah agama yang ingin memelihara kesejahteraan hidup insani.  

"Lantaran itulah Islam amat menganjurkan lelaki dan perempuan yang cukup syarat untuk berkahwin atau hidup bersama bagi membina kebaikan bersama.  

"Lelaki selaku ketua keluarga adalah pemandu kesejahteraan dan diamanahkan Allah SWT untuk menyumbang segala kebaikan kepada isteri dan anak-anak.

  "Jika dia tiba-tiba berlaku curang, bererti ia sedang meleburkan ikatan suci yang dibina dengan perkara mungkar dan suami itu sedang melakukan antara dosa besar. 

  "Perbuatan itu adalah haram. Islam sama sekali tidak merestui suami melakukan perbuatan sumbang, zina atau perilaku ke arah maksiat," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isteri orang yang mempunyai hubungan lain di luar pengetahuan suaminya, Muhammad Yusry berkata, sebagaimana suami, isteri juga mempunyai etika yang sama dan masing-masing akan dipersoal di sisi Allah SWT.

  Kata beliau, antara tragedi menyedihkan pernah dilaporkan apabila ada wanita berstatus isteri melakukan hubungan terlarang berikutan suaminya tiada pekerjaan tetap.

"Selain itu terdapat juga kes, isteri yang kalah dengan pujuk rayu atau 'pujian syaitan', lalu menduakan suami tercinta.     Kes-kes begini berlaku kerana krisis keimanan.

"Justeru, sebarang masalah komunikasi atau badai rumah tangga perlu diselesaikan dengan cara yang halal, bukan dengan cara yang haram.   

"Carilah orang tengah di pihak keluarga, autoriti agama dan sahabat sesama jantina yang dilihat ikhlas dalam persahabatan," katanya.

Kemaruk 'buru' janda

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 12:00 PM