DR Shazli Ezzat. FOTO Arkib NSTP
DR Shazli Ezzat. FOTO Arkib NSTP
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Konflik rumah tangga, tekanan hidup akibat hilang pekerjaan dan pengambilan bahan terlarang antara faktor mempengaruhi seseorang individu hilang pertimbangan hingga sanggup mengasari, mencederakan atau membunuh ahli keluarga sendiri.

Pensyarah Kanan, Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, pelaku juga mungkin bertindak menghapuskan orang terdekat kerana melihat ia jalan yang ada untuk tidak terus menanggung beban.

Justeru, pasangan atau ahli keluarga sebagai individu terdekat perlu mengenal pasti punca seandainya ternampak perubahan personaliti dan tingkah laku pelaku yang mungkin tidak berkongsi masalah atau tekanan dihadapi.

"Keadaan pelaku mungkin sudah teruk akibat banyak tekanan hidup dilaluinya hingga terlintas untuk membunuh (memusnahkan) pasangan atau ahli keluarga dan akhirnya memusnahkan diri sendiri.

"Terdapat beberapa petunjuk sebenarnya bagi individu ada masalah sebegitu dan ia boleh dilihat berdasarkan perubahan tingkah laku mereka yang mungkin suka menyendiri dalam bilik, cepat marah, baran, suka mencarut, menangis dan mudah naik tangan.

"Sedangkan, individu normal dan sihat mentalnya boleh bersosial dengan orang rapat, bekerja, menyumbang kepada masyarakat, mampu mengurus diri serta menjalani kehidupan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Dr Shazli, pasangan tidak kira suami atau isteri seharusnya menyedari perubahan itu sebelum keadaan jadi bertambah buruk hingga berlaku perkara tidak diingini.

"Apabila ada perubahan pada tingkah laku pasangan, salah seorang mesti akan sedar dan perlu cari orang terdekat untuk menasihati jika tidak mampu uruskannya.

"Sistem sokongan yang baik perlu bagi membantu pasangan menguruskan tekanan dengan baik supaya tidak bertindak sehingga mencederakan orang atau merosakkan persekitaran.

"Dalam hubungan suami isteri khususnya perlu ada sikap ambil tahu atau 'busy body' (menyibuk) dan jangan biarkan pasangan memendam kerana dikhuatiri masalahnya akan jadi barah apabila tiada komunikasi juga hilangnya toleransi," katanya.

Dr Shazli berkata, mereka yang bertindak agresif hingga tahap membunuh kemungkinan tidak sedar apa yang dilakukan kerana hilang kewarasan ketika itu.

"Pelaku tidak sedar kerana jika sedar, mereka masih ada ihsan meskipun ada dendam macam mana sekalipun.

"Boleh jadi, pelaku mengalami masalah kesihatan mental seperti skizofrenia atau yang menyebabkan mereka mengalami halusinasi dan delusi ataupun terjebak dengan isu penyalahgunaan bahan seperti dadah ketika itu yang menyebabkan mereka tergamak membunuh.

"Jadi, tidak hairanlah jika ada dalam, kalangan pelaku boleh melakukan perkara tidak diduga seperti bertelanjang di khalayak kerana menganggap ia adalah lambang kebebasan daripada masalah," katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial gambar dan video seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan berbogel dipercayai ketika melarikan diri sejurus

mengelar isteri dan anak lelakinya di Kampung Bakar Batu di sini, tengah hari semalam.

Suspek lelaki berusia 25 tahun itu kemudian berjaya ditahan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 4:12 PM