APLIKASI temu janji sering menjadi tempat untuk isi kekosongan bagi lelaki atau wanita sudah berkahwin. - FOTO Google
APLIKASI temu janji sering menjadi tempat untuk isi kekosongan bagi lelaki atau wanita sudah berkahwin. - FOTO Google
Nurul Husna Mahmud


APLIKASI temu janji antara alternatif dalam mencari pasangan. Ia menjadi pilihan lelaki dan perempuan untuk mencari pasangan idaman.

Namun, ada pihak yang menyalah guna aplikasi berkenaan bagi tujuan memuaskan nafsu dan berniat mahu berpoya-poya.

Dalam tempoh pandemik, sebarang aktiviti sosial tidak dibenarkan melainkan 'berkurung' dalam rumah, aplikasi ini dilihat antara platform yang mudah untuk mengisi kekosongan atau kebosanan.

Begitu juga dengn kisah dikongsi individu hanya mahu dikenali sebagai Aileen, 34, ini yang mengalami konflik dalam hubungan rumah tangga bersama suami, Ahmad, 32.

Kata wanita yang turut mempunyai dua cahaya mata berusia enam dan dua tahun itu, suaminya menggunakan aplikasi dalam talian untuk bermain cinta dengan tiga wanita bujang.

"Saya terkilan kerana suami sebelum ini seorang yang setia dan amat mengasihi anak-anak. Tetapi, saya mula perasan perubahan sikap suami awal tahun ini yang nampak tidak boleh berenggang dengan telefon.

"Saya juga melihat dia jarang melayan anak bermain terutama anak sulung kami yang begitu rapat dan manja. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama (PKP 1.0), dia antara yang paling sibuk merancang aktiviti untuk anak-anak.

"Namun, sejak Ogos tahun lalu, nampak perubahan semakin ketara apabila suka menyendiri termasuk berkurung dalam tandas," katanya.

Tidak mahu mengesyaki perubahan itu sebagai petanda suami berlaku curang, kata Aileen, dia tidak ambil pusing dan menumpukan hal rumah tangga termasuk bekerja dalam rumah.

"Saya dan suami sudah bekerja dari rumah sejak PKP 1.0. Kami hanya ke pejabat apabila keadaan memerlukan. Suami dan saya bekerja dalam syarikat sama dan kami tahu jadual kerja masing-masing.

KERJA di rumah antara punca menyebabkan pasangan terlalu sibuk untuk melayan. - FOTO Google
KERJA di rumah antara punca menyebabkan pasangan terlalu sibuk untuk melayan. - FOTO Google

"Namun, tidak sangka dalam banyak masa kami dihabiskan di rumah, suami masih ada masa untuk berbual dengan wanita lain.

"Perbuatan itu hanya saya kesan apabila wanita itu menghubungi suami ketika dia sedang mandi. Luluh hati apabila wanita itu memberitahu sudah mengenali suami dan mempunyai panggilan manja 'bie' dan 'sayang'," katanya.

Apabila kecurangan suami diketahui Aileen, mereka bergaduh dan tidak lagi bertegur sapa. Anak-anak turut tertekan apabila anak yang sulung tiba-tiba sahaja kencing malam.

"Kesal kerana sejak perbuatan suami 'kantoi', kami bergaduh termasuk sampai ke pengetahuan anak. Anak-anak menangis dan sehinggakan anak sulung kami mula kencing malam.

"Saya ambil keputusan untuk berdamai. Suami juga kesal dengan sikapnya yang berlaku curang dengan saya.

"Dia kata kesunyian selain bosan kerana terlalu lama terkurung dalam rumah menyebabkan dia mencari hiburan baharu. Meskipun rasa percaya sudah berkurang, tetapi demi anak-anak saya cuba berkelakuan seperti biasa," katanya.

Sementara itu, Kaunselor Perkahwinan dan Keluarga, Hushim Salleh berkata, kes pasangan baik suami atau isteri menggunakan aplikasi temu janji dalam talian untuk mengisi kekosongan lebih ketara sejak kebelakangan ini.

"Tiga punca utama penceraian tinggi akibat pandemik selain hilang pekerjaan dan masalah kewangan ialah pasangan berlaku curang kerana pengaruh gajet dan media sosial.

"Malah, baru-baru ini saya banyak kendalikan klien yang hampir bercerai kerana pasangan menjalin hubungan menerusi media sosial.

"Susahnya apabila hubungan perkahwinan itu berakhir dengan penceraian. Implikasi penceraian sangat buruk kepada sosial apabila turut memberikan kesan kepada emosi dan fikiran anak-anak," katanya.

SOLAT berjemaah bersama keluarga antara aktiviti bersama dapat dilakukan suami isteri. - FOTO Google
SOLAT berjemaah bersama keluarga antara aktiviti bersama dapat dilakukan suami isteri. - FOTO Google

Tambah Hushim lagi, alasan sering diberikan pasangan sudah berkahwin, tetapi masih mengunjungi aplikasi temu janji kerana mereka kesunyian.

"Sebenarnya sikap pasangan yang melakukan curang kerana pilihan mereka sendiri. Alasan terabai dengan isteri, bosan dan tertekan antara kerap diberikan.

"Apabila sudah tertangkap dengan pasangan masing-masing, barulah 'melatah' dan menyesal selepas bergaduh besar.

"Hubungan tidak lagi harmoni dan anak-anak menyaksikan pergaduhan ibu bapa mereka terkesan emosi dan psikologi.

"Jika pasangan itu memilih untuk bercerai, keadaan menjadi lebih buruk kerana anak-anak membesar dengan persekitaran tidak sihat itu biasanya akan membesar sebagai remaja dan dewasa yang bermasalah," katanya.

Saranan beliau, supaya pasangan itu menjalani kaunseling bagi memulihkan keharmonian keluarga terutama yang membuat kesalahan insaf dan tidak mengulangi perbuatan mengunjungi aplikasi temu janji.

"Baik isteri atau suami kena usaha mengharmonikan rumah tangga. Kalau pasangan Islam selalu saya galakkan mereka ini untuk solat berjemaah dan membaca al-Quran bersama anak-anak.

"Banyakkan aktiviti yang dapat menyemai rasa sayang terutama dalam keadaan pandemik. Sokongan terhadap pasangan dan keluarga sangat penting bagi mengelak masalah seperti tekanan dan kemurungan kerap dihadapi individu kebelakangan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 7:00 AM