MUHYIDDIN ketika mengadakan sidang media selepas merasmikan Konvensyen Bersatu Sabah, hari ini. FOTO Bernama
MUHYIDDIN ketika mengadakan sidang media selepas merasmikan Konvensyen Bersatu Sabah, hari ini. FOTO Bernama
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetap dengan pendirian bahawa enam Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal hilang kerusi berdasarkan pindaan perlembagaan parti itu yang sudah diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, nasib keenam-enam mereka akan diketahui tidak lama lagi selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu yang akan dipengerusikannya dalam masa terdekat.

Katanya, pindaan perlembagaan Bersatu menjelaskan bahawa tindakan dilakukan Ahli Parlimen terbabit jelas menyebabkan keahlian mereka gugur secara automatik sekali gus kerusi yang diduduki juga menjadi kosong dan pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan.

"Kalau mengikut perlembagaan parti yang kita sudah pinda dan sudah diluluskan oleh ROS, yang menyatakan bahawa kalau hal sebegini berlaku maka keahliannya itu terhenti, maka dia tidak jadi ahli, tergugur begitu saja secara automatik.

"Kalau mengikut Perlembagaan Persekutuan dan akta anti lompat parti, kerusi itu sudah kosong. Tapi, proses itu adalah dengan kita mengambil tindakan seperti disebutkan Datuk Hamzah (Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin) tadi," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Konvensyen Bersatu Sabah, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan di enam kerusi Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri selepas pindaan perlembagaan parti itu diluluskan ROS.

Terdahulu, Hamzah berkata, selepas menerima kepastian daripada pihak ROS mengenai kelulusan pindaan Perlembagaan Bersatu, jawatankuasa kecil parti itu bermesyuarat baru-baru ini bagi membincangkan perkara yang akan dikenakan terhadap ahli yang melanggar perlembagaan parti, termasuk enam Ahli Parlimen terbabit.

Selepas itu, Hamzah berkata, ia akan disusuli mesyuarat MPT dipengerusikan Muhyiddin bagi mengesahkan keputusan dibuat jawatankuasa kecil sebelum tindakan diambil terhadap mereka.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, tindakan itu kemudiannya akan dimaklumkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat sebelum pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dimaklumkan mengenai kekosongan kerusi bagi memberi laluan kepada PRK.

"Itu pandangan kamilah dan ia sebab pindaan terhadap perlembagaan parti sudah diluluskan oleh ROS, jadi kita hanya menunggu masa, mungkin tidak berapa lama lagi hari itu akan berlaku," katanya.

Enam Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 5:28 PM