Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Rakan komponen dalam gabungan Barisan Nasional (BN) digesa untuk menghormati kerusi Kuala Kubu Baharu yang kini kosong akibat kematian penyandangnya adalah dimiliki rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti yang diterajui olehnya akan membantu mana-mana pihak yang dicalonkan oleh Pengerusi Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita mengetahui bahawa (kerusi) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Baharu, Selangor telah kosong disebabkan Adunnya sudah meninggal dunia.

"Kami berasakan walaupun jumlah pengundi di Kuala Kubu Baharu itu meningkat (dengan) pengundi Melayunya kira-kira 50 peratus, tetapi demi menghormati Kerajaan Madani yang ada, saya berasakan rakan-rakan kita dalam Umno dan komponen BN harus menghormati kerusi itu dimiliki rakan kita dalam Kerajaan Perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Majlis Kerja Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Semalam, dilaporkan Adun Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong meninggal dunia selepas bergelut kanser sejak beberapa tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, beliau yakin jentera Umno dan BN khususnya MCA serta parti Friends of BN akan bersama untuk membantu calon yang diumumkan nanti.

"Biarpun tarikhnya (Pilihan Raya Kecil) belum ditentukan, saya yakin rasa hormat ini harus kita terjemahkan.

"Mudah-mudahan kita akan dapat menjamin dan menjalin hubungan ini supaya Kerajaan Madani yang sama-sama kita dokong akan terus mantap serta kukuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 8:18 PM
AHMAD Zahid menerima referendum daripada wakil pekerja ekonomi gig malaysia ketika Majlis Berbuka Puasa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
AHMAD Zahid menerima referendum daripada wakil pekerja ekonomi gig malaysia ketika Majlis Berbuka Puasa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali