GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) memutuskan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang bakal diadakan pada 11 Mei depan.

Menerusi satu kenyataan bersama, keputusan itu diambil bagi membolehkan pengundi di Kuala Kubu Baharu melaksanakan hak mengundi mereka dan mengemukakan referendum yang kuat terhadap prestasi Kerajaan Madani.

"Serta membolehkan pengundi membuat keputusan antara parti pemerintah penyandang dan parti pembangkang utama.

"Walaupun keputusan Muda-PSM untuk tidak bertanding, ini tidak sesekali menjadi batu penghalang untuk suara rakyat menjadi perhatian utama Muda-PSM," katanya hari ini.

Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) menamakan Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Pang Sock Tao mewakili gabungan itu manakala Perikatan Nasional (PN) pula mempertaruhkan Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut.

Mengulas lanjut, Muda-PSM turut menggesa semua parti dan calon bertanding untuk memenuhi aspirasi pengundi serta hasrat rakyat Malaysia iaitu memerangi politik perkauman yang menggugat keharmonian rakyat.

Aspirasi dan hasrat lain katanya adalah memperjuangkan hak rakyat berdasarkan penilaian keperluan dan bukan perkauman serta memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

"Seterusnya memperjuangkan keadilan kos sara hidup dan meningkatkan keselamatan sosial; memelihara dan memulihara alam sekitar dan menjamin hak demokratik rakyat," katanya.

Menurutnya, isu penting seperti kos sara hidup yang tidak sepadan dengan gaji, perumahan yang menekan golongan B40 dan penjagaan kesihatan awam adalah antara fokus perlu disegerakan oleh Kerajaan Madani.

"Muda-PSM akan menggunakan tempoh berkempen dua minggu PRK ini untuk melancarkan kempen-kempen rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 4:24 PM