AHMAD Zahid pada sesi Taklimat Presiden menjelang Perhimpunan Agung Umno 2023. Ihsan Media Umno
AHMAD Zahid pada sesi Taklimat Presiden menjelang Perhimpunan Agung Umno 2023. Ihsan Media Umno
Mohammmad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) perlu memenangi kerusi yang diberikan kepada gabungan itu oleh parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana ia tidak akan memberi makna sekiranya mereka berasakan parti itu kuat tetapi 'hasil' yang diperoleh dalam pilihan raya nanti adalah 'kurang'.

Beliau berkata, BN juga seharusnya bangkit dan memperbetulkan kelemahan yang ada selain mencari titik persamaan antara mereka.

"Kita harus tahu undi kita pada pilihan raya yang lalu cuma sekitar 23 peratus dan kerusi kita peroleh cuma sekitar 11 peratus.

"Dua kali kita kecundang dalam pilihan raya. Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Kita harus bangkit.

"Untuk bangkit, kita harus perbetulkan kelemahan-kelemahan kita. Masalahnya dalam PRU-14 dan PRU-15, kita asyik melayani titik-titik perbezaan dalam kalangan kita.

"Kali ini kita mesti mencari titik persamaan dan harus bergerak ke hadapan," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid menyampaikan taklimat kepada lebih 6,000 perwakilan yang menghadiri Persidangan Agung Umno (PAU) 2023 diadakan di Dewan Merdeka.

Beliau yang juga Pengerusi BN menegaskan, agenda Islam, Melayu, Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu juga tidak pernah diusik oleh Pakatan Harapan (PH).

"Malah mereka menghormati itu pendirian Umno kerana terdapat dalam Perlembagaan Umno bahawa keempat-empat unsur ini wajib dipertahankan dan mereka bersetuju.

"Saya tidak nampak ada permasalahan kononnya kita terpaksa menggadai maruah dan sebagainya. Kenapa Pas boleh, bila kita buat kononnya kita ingin menggadai Islam dan Melayu?

"Jadi, mereka harus tanya diri mereka sebab Pas telah melakukan perkahwinan muta'ah politik beberapa kali dengan pelbagai parti termasuk DAP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 7:09 PM