Ismail (tengah) bersama pegawai dan anggotanya yang lain menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas selepas menyerbu dua lelaki di Sungai Berembang, Kuala Perlis pada 15 Mac lalu. FOTO AIZAT SHARIF
Ismail (tengah) bersama pegawai dan anggotanya yang lain menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas selepas menyerbu dua lelaki di Sungai Berembang, Kuala Perlis pada 15 Mac lalu. FOTO AIZAT SHARIF
Aizat Sharif

Padang Besar: Terkejut melihat pihak berkuasa, dua lelaki disyaki cuba menyeludup dadah bertindak memecut laju bot dinaiki hingga mendekati perairan negara jiran sebelum lolos.

Kejadian berlaku ketika anggota sepasukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) daripada Cawangan Pengutkuasaan/Marin Kuala Perlis sedang melakukan rondaan di kuala sungai dekat Kampung Pulau ke Sungai Berembang, Kuala Perlis pada 15 Mac lalu.

Pengarah Kastam Negeri Perlis, Ismail Hashim berkata, kejadian pada 6.45 pagi itu menemukan ketulan mampat ganja dianggar seberat lima kilogram bernilai RM15,500.

"Anggota mendapat maklumat mengenai cubaan menyeludup dadah dari negara jiran dan melakukan rondaan, sebelum ternampak kelibat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika mahu melakukan pemeriksaan, mereka memecut laju menghala perairan negara jiran. Mereka meninggalkan satu kotak berisi lima ketulan mampat disyaki ganja di atas batu berhampiran jeti persendirian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Cawangan Penguatkuasaan, Pejabat Kastam Padang Besar, di sini hari ini.

Ismail berkata, pihaknya percaya modus operandi suspek melakukan pengedaran dadah pada awal pagi di perairan dekat sempadan Malaysia-Thailand bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Katanya, dadah yang ditinggalkan itu dipercayai bakal diambil anggota sindiket lain menggunakan jalan darat sebelum, dipasar ke sekitar pantai barat Semenanjung.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 3:35 PM