IZAH (dua dari kanan) menunjukkan ketulan ganja mampat yang dicampak ke pantai oleh bot nelayan berhampiran Jeti LKIM Sungai Berembang, Kuala Perlis. FOTO Zuliaty Zulkiffli
IZAH (dua dari kanan) menunjukkan ketulan ganja mampat yang dicampak ke pantai oleh bot nelayan berhampiran Jeti LKIM Sungai Berembang, Kuala Perlis. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tindakan mencurigakan individu memunggah barangan dari bot membawa kepada penemuan enam guni mengandungi 120 kilogram (kg) ketulan mampat dadah jenis ganja berjumlah RM420,000, Khamis lalu.

Kegiatan itu dikesan sepasukan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah ketika melakukan rondaan berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Berembang di Kuala Perlis.

Pemeriksaan dilakukan hasil risikan di sekitar kawasan itu selepas menerima maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dadah di lokasi terbabit.

Ketika serbuan dilakukan, pasukan mendapati bot terbabit memunggah enam guni yang dicampak ke pantai berdekatan jeti LKIM Sungai Berembang.

Pengarah Kastam Kedah, Nor Izah Abdul Latif berkata, apabila menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, bot itu memecut laju meninggalkan kawasan pantai berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam enam guni itu menemui 120 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 120 kg dianggarkan bernilai RM420,000.

"Siasatan awal mendapati dadah jenis ganja ini dipercayai dari negara jiran dan dibawa masuk melalui jalan laut dengan menggunakan bot untuk mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

"Dadah ini dipercayai akan diedarkan di kawasan pesisir pantai Kuala Perlis/Kuala Sanglang untuk pasaran tempatan.

"Berkemungkinan guni yang dicampak itu akan diambil oleh pihak ketiga, namun tiada tangkapan dilakukan ketika serbuan dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Nor Izah berkata, berdasarkan jumlah dadah yang diperolehi, rampasan itu berjaya membanteras ia daripada diedarkan kepada 600,000 penagih.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, Nor Izah berkata, JKDM Kedah komited dalam membanteras dan mengekang aktiviti penyeludupan di negeri ini.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 547 kertas siasatan dibuka bagi pelbagai kesalahan penyeludupan di bawah Akta Kastam 1967.

"Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM11.928 juta dan duti cukai yang terbabit dianggarkan bernilai lebih RM8.19 juta.

"Bagi tahun ini setakat 15 Februari lalu, sebanyak 57 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan penyeludupan di bawah Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 1:27 PM