Aizat Sharif

Kangar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis mematahkan cubaan menyeludup dadah ke negara ini selepas merampas 10 kilogram (kg) ketulan mampat ganja dan dua kilogram syabu dalam sebuah bot di Pulau Ketam, Kuala Perlis, di sini Sabtu lalu.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kejadian berlaku pada 4.30 pagi apabila bot peronda APMM terserempak dengan sebuah bot kayu mencurigakan sedang menyusuri kawasan pesisiran pantai yang berjarak sekitar 200 meter dari perairan sempadan Malaysia-Thailand.

"Bot yang menggunakan enjin bergalah dikesan berada pada kedudukan kira-kira 0.18 batu nautika dari barat Pulau Ketam, Kuala Perlis serta dikemudi seorang lelaki.

"Peronda kita kemudian bertindak mendekati dan mengejar bot berkenaan, namun suspek melajukan botnya dan menukar haluan ke arah paya bakau kawasan pulau itu.

"Menyedari botnya berjaya dipintas anggota kita, suspek nekad terjun ke laut meninggalkan bot dengan berenang ke kawasan paya bakau untuk menyelamatkan diri," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Pejabat APMM Zon Maritim Kuala Perlis, di sini hari ini.

ROMLI (tiga kiri) menunjukkan dadah ganja dan syabu yang dirampas dalam sidang media di Pejabat APMM Zon Maritim Kuala Perlis, Kangar. FOTO Aizat Sharif
ROMLI (tiga kiri) menunjukkan dadah ganja dan syabu yang dirampas dalam sidang media di Pejabat APMM Zon Maritim Kuala Perlis, Kangar. FOTO Aizat Sharif

Katanya, pemeriksaan dalam bot berkenaan berjaya menemui satu tong minyak berwarna biru yang berada dalam geladak bot itu.

"Penggeledahan selanjutnya dalam tong minyak itu menemui 10 ketulan mampat daun kering disyaki ganja dan dua bungkusan plastik kuning mengandungi hablur kristal yang disyaki syabu disembunyikan dalam tong minyak yang diubahsuai itu.

"Jika dilihat dasar tong minyak itu dipotong bagi menyembunyikan bekalan dadah itu yang dipercayai diperoleh dari Thailand.

"Malah, ganja yang dirampas juga mempunyai jenamanya tersendiri seperti jenama 69 dan JJJ selain selebihnya tidak berjenama," katanya.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan termasuk bot adalah dianggarkan bernilai RM156,000, manakala nilai ganja adalah RM50,000.

"Kita percaya setiap bungkusan mampat ganja itu bernilai RM5,000 manakala syabu yang dirampas itu pula adalah bernilai RM100,000.

"Dadah yang dirampas ini dipercayai dapat dibekalkan kepada 10,000 penagih dadah di negara ini," katanya.

Romli berkata, ini adalah rampasan keempat membabitkan penyeludupan ganja ke negara ini menggunakan perairan sempadan Malaysia-Thailand di Kuala Perlis.

Malah, sindiket pengedaran dadah jenis ganja ini menggunakan laluan maritim negara juga didapati menukar modus operandi dengan menggunakan bot kayu enjin bergalah yang memudahkan pergerakan melalui kawasan perairan cetek di sekitar kawasan pesisiran pantai Kuala Perlis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 9:13 PM