GANJA berbentuk seperti belacan yang dirampas JKDM. FOTO Aizat Sharif
GANJA berbentuk seperti belacan yang dirampas JKDM. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif

Padang Besar: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis mematahkan cubaan menyeludup ganja yang menyerupai belacan seberat 3.68 kilogram (kg) bernilai RM11,408 ke negara ini selepas menahan seorang lelaki di Wang Kelian, di sini, pada 21 Disember lalu.

Ketulan ganja itu dibentuk serta dibungkus berbentuk belacan sebelum disembunyikan dalam bagasi milik suspek berusia 24 tahun yang bekerja sebagai pengurus acara merangkap pemandu pelancong sambilan.

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, kejadian berlaku jam 9.35 pagi di laluan pejalan kaki (import) Pos Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Wang Kelian, Kaki Bukit apabila anggota kastam ternampak suspek dalam keadaan mencurigakan sedang melalui kawasan berkenaan untuk memasuki negara ini.

"Anggota ternampak lelaki warga tempatan itu yang baru tiba dari arah Thailand sedang membawa bersama sebuah bagasi beroda berwarna hitam dan kita menahannya untuk pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan terdapat beberapa beg plastik lut sinar dan plastik hitam yang di dalamnya terdapat ketulan mampat dadah disyaki ganja atau kanabis seberat 3,680 gram atau 3.68 kg.

"Bekalan ganja itu dibentuk serta dibungkus seolah-olah seperti belacan dan ia disembunyikan di dalam timbunan pakaian suspek dalam bagasi itu," katanya pada sidang media di Cawangan Penguatkuasaan, Pejabat Kastam Padang Besar, di sini, hari ini.

Katanya, suspek dipercayai memperoleh bekalan dari Hatyai, Thailand dan terpaksa mengharungi perjalanan lebih dua jam untuk tiba di sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian.

"Dia tidak menggunakan laluan di ICQ Padang Besar atau ICQ Bukit Kayu Hitam untuk memasuki negara ini meskipun jaraknya agak dekat dengan Hatyai.

"Sebaliknya, suspek memilih mengharungi perjalanan lebih dua jam ke Wang Kelian berbanding Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam disebabkan ICQ Wang Kelian tiada mesin imbasan elektronik dan hanya menggunakan pemerhatian dan pemantauan mata secara manual daripada pihak berkuasa saja berbanding kedua-dua lokasi itu," katanya.

Ismail berkata, suspek turut dibayar RM5,000 untuk tugasan berkenaan oleh sindiket dan merasakan keadaan di ICQ Wang Kelian tidak sesibuk di Padang Besar atau Bukit Kayu Hitam maka suspek cuba membawa dadah menerusi laluan itu.

"Kita percaya suspek mahir dengan selok-belok di sekitar kawasan ICQ berkenaan disebabkan pekerjaannya sebagai pemandu pelancong sambilan yang kerap kali membawa pelancong pergi dan pulang ke negara jiran.

"Suspek direman selama tujuh hari sehingga hari ini dan disambung remannya sehingga Isnin hadapan untuk membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 2:47 PM