HUSAIN (tengah) menyerahkan sumbangan Tabung Metro Prihatin bernilai RM5,000 kepada Zettyhayat ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gunung Sali,  Selasa lalu.
HUSAIN (tengah) menyerahkan sumbangan Tabung Metro Prihatin bernilai RM5,000 kepada Zettyhayat ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gunung Sali, Selasa lalu.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Saya sangat terharu menerima bantuan ini.. Alhamdulillah, terima kasih," kata Zettyhayat Azizan, 40, pesakit kanser payudara tahap empat yang menerima sumbangan Tabung Metro Prihatin bernilai RM5,000.

Wanita itu yang kisahnya pernah dilapor Harian Metro pada 1 Mac lalu menerima sumbangan berkenaan yang disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit di rumahnya di Kampung Gunung Sali, Mergong di sini, Selasa lalu.

Hadir sama, Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad dan Pengarang Berita Kanan Harian Metro, Noor Azam Ab Aziz.

Menurut Zettyhayat, dia akan memanfaatkan sumbangan itu untuk menampung kos rawatan di hospital, selain perbelanjaan harian termasuk buat dua anaknya.

Katanya, bantuan itu meringankan bebannya yang tidak dapat bekerja dan hanya mengharap ihsan ibunya, Noraini Man, 65, yang juga tukang jahit selain bapa, Azizan Hassan, 60, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

"Dua anak saya yang berusia 15 dan 17 tahun masing-masing masih bersekolah di tingkatan dua dan lima, saya pula hanya mengambil upah mengasuh budak dengan RM10 sehari.

"Jadi wang yang ada hanya cukup-cukup untuk makan minum kami sekeluarga. Atas sebab itu saya bersyukur diberi bantuan ini dan terima kasih juga saya ucapkan kepada NGO Cancer Survivors Malaysia (CSM) yang membantu sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, Husain berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib Zettyhayat dan berharap sumbangan diberikan dapat mengurangkan beban dialami terutama dalam menjalani rawatan susulan.

"Dengan keadaannya yang sukar untuk bergerak kerana dimaklumkan Zettyhayat kerap berlaku tumpah darah, saya harap ada pihak (NGO) yang dapat membantu menguruskannya ke sana (Hospital Pulau Pinang).

"Kita doakan semoga Zettyhayat cepat sihat," katanya.

Zettyhayat Azizan (kanan) yang menghidap kanser payu dara tahap empat menyuap makanan kepada dua anak asuhannya di rumahnya di Kampung Gunung Sali, Mergong. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zettyhayat Azizan (kanan) yang menghidap kanser payu dara tahap empat menyuap makanan kepada dua anak asuhannya di rumahnya di Kampung Gunung Sali, Mergong. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 3:21 PM