Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. FOTO BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pemimpin pertama mengucapkan tahniah kepada Presiden Indonesia baharu Prabowo Subianto yang diumumkan semalam sebagai pemenang rasmi Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024.

Sambil mengucapkan selamat maju jaya, Perdana Menteri menyatakan keyakinan bahawa Prabowo pasti dapat menggalas mandat yang diberikan dengan cemerlang demi kemajuan berterusan dan kemakmuran Indonesia.

"Saya telah menghubungi Presiden Terpilih Republik Indonesia Yang Mulia Bapak Prabowo Subianto bagi menyampaikan salam tahniah atas kejayaan beliau dalam Pemilihan Presiden Indonesia yang baru selesai.

"Saya dimaklumkan saya pemimpin pertama yang menyampaikan ucapan tahniah kepada beliau selepas pengumuman keputusan rasmi Pemilu," kata Anwar menerusi catatan di Facebook beliau.

Anwar berkata, ia cukup bermakna kerana melambangkan nilai persahabatan antara Malaysia dan Indonesia yang amat istimewa sebagai negara tetangga dekat serta penting.

Perdana Menteri berkata. beliau dan Prabowo bertekad memperkukuh hubungan dua hala mencakupi pelbagai aspek sebagai negara jiran dan berikrar untuk bekerjasama rapat di pelbagai forum pelbagai hala terutama dalam ruang lingkup Asean.

Pada Rabu, Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) mengumumkan Prabowo-Gibran Rakabuming Raka sebagai pemenang rasmi Pemilihan Presiden dan Naib Presiden 2024.

Hasil rumusan KPU menunjukkan Prabowo-Gibran menang di 36 wilayah, manakala dua lagi wilayah dimenangi pesaing mereka, pasangan Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 9:59 AM