PRABOWO (kiri) menyampaikan ucapannya dengan Gibran di sebelahnya. FOTO Reuters
PRABOWO (kiri) menyampaikan ucapannya dengan Gibran di sebelahnya. FOTO Reuters
AFP

Jakarta: Bekas jeneral, Prabowo Subianto mendakwa menang dalam pilihan raya presiden Indonesia, semalam, kerana keputusan awal meletakkannya jauh di hadapan dua pesaingnya untuk menerajui negara ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.

Tinjauan sudah lama menunjukkan menteri pertahanan itu menjadi kegemaran selepas beliau berikrar untuk menjalankan agenda pemimpin popular Joko Widodo (Jokowi), yang dituduh menyokong kempennya secara tidak wajar. Anak Jokowi adalah gandingan Prabowo, sebagai naib presiden.

"Semua dikira, semua peninjau... menunjukkan angka yang Prabowo-Gibran menang dalam satu pusingan.

"Kemenangan itu seharusnya menjadi kemenangan bagi seluruh rakyat Indonesia, " kata Prabowo kepada penyokong yang bersorak di Jakarta tengah, merujuk kepada pilihan naib presidennya, Gibran Rakabuming Raka, yang berdiri di sebelahnya.

Keputusan rasmi belum ditetapkan sehingga bulan depan tetapi sekurang-kurangnya empat kumpulan yang diluluskan kerajaan membuat unjuran berdasarkan pengiraan awal menunjukkan Prabowo menang 57 peratus undi untuk meraih majoriti.

Sambil mendakwa kemenangan, Prabowo menegaskan "kita masih mesti menunggu keputusan rasmi KPU", merujuk kepada suruhanjaya pilihan raya.

"Kami percaya demokrasi Indonesia berjalan dengan baik. Rakyat sudah membuat keputusan," katanya kepada penyokong.

Prabowo, yang juga ketua tentera semasa pemerintahan diktator Suharto satu generasi lalu, memerlukan lebih 50 peratus undi keseluruhan dan sekurang-kurangnya satu perlima daripada undi di lebih separuh daripada 38 wilayah untuk mendapatkan jawatan presiden.

Lelaki berusia 72 tahun itu yang mendorong protes jalanan dan mencabar undang-undang selepas kalah dalam dua pilihan raya presiden sebelumnya, mengucapkan terima kasih kepada penyokong dan menyeru kepada perpaduan.

"Sekarang kempen sudah tamat, kita mesti bersatu semula," katanya.

Kiraan pantas kumpulan pengundian yang diluluskan kerajaan juga digunakan dalam pilihan raya sebelum ini oleh calon dalam menuntut kemenangan.

Peninjau mengambil sampel di pusat pengundian terpilih selepas pengundian ditutup dan dibenarkan menyaksikan proses pengiraan oleh pegawai pilihan raya.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) mengucapkan tahniah kepada rakyat Indonesia atas jumlah individu yang keluar mengundi dalam satu kenyataan yang tidak menyebut Subianto,

"Kami menantikan pengumuman keputusan rasmi pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Umum," kata jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 10:25 AM