SEBAHAGIAN set bubu naga yang dirampas APMM Zon Maritim Kuala Kedah di kawasan perairan Yan. FOTO ihsan APMM
SEBAHAGIAN set bubu naga yang dirampas APMM Zon Maritim Kuala Kedah di kawasan perairan Yan. FOTO ihsan APMM
Zuliaty Zulkiffli


Kuala Kedah: Penemuan pelampung penanda dan pancang pada alat menangkap ikan yang panjangnya 10 meter membongkar kegiatan nelayan menggunakan bubu naga haram di perairan Yan.

Pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah mengesan bubu naga itu di empat lokasi di sekitar Kuala Sedaka hingga perairan Kuala Sala, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya merampas 107 set bubu naga atau dikenali bubu kambang dalam operasi khas yang dijalankan susulan aduan awam.

"Kesemua bubu naga berkenaan dirampas dan dianggarkan bernilai RM12,840. Ia dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Azreyanti berkata, APMM melihat penggunaan bubu naga itu perlu dicegah bermula dengan penjualan di darat.

Katanya, tindakan rampasan juga tidak begitu memberi kesan kerana pengguna masih boleh membeli bubu naga lain berikutan harganya didakwa murah di pasaran.

Beliau mengingatkan nelayan agar mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen, termasuk melarang penggunaan bubu naga kerana boleh menjejaskan ekosistem marin.

"Zon Maritim Kuala Kedah sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang kawasan tanggungjawab bagi mengekang aktiviti haram di laut.

"Sebarang aduan atau aktiviti jenayah mahupun kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 10:44 AM