Zuliaty Zulkiffli

NELAYAN warga Thailand dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke laut ketika menangkap ikan pada jarak 19.3 batu nautika barat daya Pulau Songsong petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diaktifkan pada 4 petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Supakorn Ruanggkaew, 48, dilaporkan keluar ke laut bersama empat nelayan dengan menaiki bot pukat tunda.

"Mangsa disedari hilang pada 3 petang semalam ketika hendak menaikkan pukat.

"Operasi SAR disambung semula hari ini membabitkan sebuah kapal dan sebuah bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), sebuah bot Pasukan Polis Marin (PPM) dan sebuah bot dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahmad Faizal berkata, operasi turut dibantu 15 bot nelayan tempatan.

Beliau berkata, sektor pencarian pada hari ini meliputi kawasan seluas 78.22 batu nautika persegi.

"Sebarang aduan dan kes kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian 24 jam MERS atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579," katanya.

BOT Maritim Malaysia melakukan pencarian nelayan Thailand yang hilang. FOTO ihsan Maritim Malaysia
BOT Maritim Malaysia melakukan pencarian nelayan Thailand yang hilang. FOTO ihsan Maritim Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 12:11 PM