SEBAHAGIAN enumpang feri yang terkandas di perairan Kuala Kedah berjaya dibawa oleh pasukan penyelamat APMM dan bantuan bot nelayan ke jeti Kuala Kedah. FOTO ihsan APMM.
SEBAHAGIAN enumpang feri yang terkandas di perairan Kuala Kedah berjaya dibawa oleh pasukan penyelamat APMM dan bantuan bot nelayan ke jeti Kuala Kedah. FOTO ihsan APMM.

Oleh Zuliaty Zulkiffli

[email protected]

[email protected]

Gambar Ihsan APMM

#Susulan feri terkandas di Kuala Kedah

Alor Setar: Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah menerima panggilan dari Jabatan Laut Malaysia (JLM) memaklumkan sebuah feri Starcity Express 6 yang dalam perjalanan dari Kuala Kedah ke Pulau Langkawi terkandas sekitar jam 4.30 petang di posisi 0.5 batu nautika muara Kuala Kedah, petang tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot PERKASA 1224 kemudian diatur gerak ke lokasi kejadian sejurus menerima aduan dalam usaha membantu pihak feri dan JLM sebelum paras air mulai surut.

Beliau berkata, terdahulu, feri berkenaan cuba ditunda balik oleh bot tunda milik sebuah syarikat kargo di Kuala Kedah namun feri berkenaan terkeluar dari laluan dan tersangkut di beting lumpur.

"Seramai 133 orang penumpang yang terdiri daripada kanak-kanak lelaki dan perempuan, wanita dan lelaki berada di atas feri berkenaan berjaya dibawa keluar oleh bot PERKASA 1224.

"Operasi menyelamat itu turut dibantu oleh beberapa bot nelayan yang berada berhampiran untuk dibawa ke Jeti Penumpang Kuala Kedah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Azreyanti berkata, operasi menyelamat yang dikoordinasikan oleh Maritim Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi ini ditamatkan pada jam 6.30 petang selepaa kesemua penumpang berjaya dibawa ke Jeti Penumpang Kuala Kedah.

Beliau berkata, kesemua penumpang feri berkenaan dilaporkan keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.

"Antara agensi dan jabatan yang terbabit ialah Jabatan Laut Malaysia (JLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Malaysia (KKM), dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Zon Maritim Kuala Kedah juga mengalu-alukan aduan mengenai sebarang kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579," katanya.

Media hari ini melaporkan, sebuah feri yang membawa 133 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi tersangkut berhampiran jeti Kuala Kedah sekitar jam 4 petang hari ini.

Ini adalah kejadian kedua membabitkan feri tersangkut pada tali sauh kapal di kawasan Kuala Kedah dalam tempoh seminggu.

Tamat

From: Zue

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 8:33 PM