. EXCO Hal Ehwal Agama Johor, Mohd Fared Mohd Khalid pada sidang media selepas Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama (SMA) di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor di Kluang Johor. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
. EXCO Hal Ehwal Agama Johor, Mohd Fared Mohd Khalid pada sidang media selepas Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama (SMA) di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor di Kluang Johor. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Exco Hal Ehwal Agama Johor Mohd Fared Mohd Khalid memaklumkan polis sudah mengambil tindakan awal dan menyiasat kilang yang didakwa mengeluarkan stoking tertera kalimah Allah di Batu Pahat.

Beliau menjelaskan sudah menghubungi Ketua Polis Daerah Batu Pahat yang mengesahkan tindakan awal sudah dibuat.

"Kita percaya polis akan melaksanakan tugas mereka dan saya berharap semua orang Islam bersabar," katanya pada sidang media selepas Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama (SMA) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai isu penjualan stoking tertera kalimah Allah yang membangkitkan kemarahan umat Islam di negara ini, baru-baru ini.

Mohd Fared berkata, pihaknya menyokong semua tindakan perundangan kepada pihak berkenaan dan sedia membantu pihak berkuasa yang terbabit.

"Kita akan ambil tindakan sebaiknya sekiranya agensi penguat kuasa kita diperlukan untuk buat serbuan dan operasi bersama, kita akan menggerakkan semua agensi," katanya.

Beliau turut mengecam sekeras-kerasnya penjualan stoking tertera kalimah Allah itu dan memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak memainkan sentimen keagamaan seperti itu.

"Kita percaya hal ini tidak akan berulang lagi. Untuk bangsa Johor (minta) untuk semuanya berterusan memantau, membantu kita agensi kerajaan negeri dan melaporkan kepada pejabat kadi, pejabat polis daerah sekiranya ada kecurigaan pada hal hal berkaitan dengan masalah ini," katanya.

Rabu lalu tular di media sosial stoking kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 1:17 PM