Shahrol ketika tiba di sekolah untuk mengambil anaknya.
Shahrol ketika tiba di sekolah untuk mengambil anaknya.
Mohamed Farid Noh


Kluang: Pelawak terkenal, Shahrol Shiro tersilap menghantar anaknya ke sekolah berlainan dan hanya menyedarinya selepas beberapa jam, pada hari kedua sesi persekolahan dibuka.

Gelagat Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi itu tular di media sosial semalam selepas beliau merakamkan kesilapannya ketika mengambil semula anaknya yang berusia tujuh tahun itu.

Shahrol berkata, beliau tidak menyedari menghantar anaknya, Rizqi atau Iqi ke sekolah yang berlainan berikutan proses kemasukan dan pendaftaran diuruskan isterinya, Ahad lalu.

Beliau hanya menyedari kesilapannya itu selepas guru sekolah berkenaan menghubunginya semula memaklumkan anaknya dihantar ke sekolah yang salah selepas beberapa jam.

"Atas faktor kesibukan kerja, saya minta bantuan isteri uruskan kemasukan anak ke Tahun Satu. Dalam perbincangan nak masukkan Iqi ke sekolah mana, ada dua nama sekolah yang disebut.

"Semalam saya hantar anak ke sekolah, namun lepas beberapa jam hantar Iqi, saya dapat panggilan telefon daripada pihak sekolah. Risau juga kalau ada apa-apa berlaku, rupanya ayah tersalah hantar anak ke sekolah lain.

"Iqi dah siap masuk kelas belajar tapi dia pelik bila tengok padang tak sama macam sekolah dia sebelum ini.

Terus dia jumpa cikgu beritahu dia tersilap sekolah. Apabila guru memeriksa tanda namanya berlainan dengan murid di situ, Iqi dihantar ke pejabat sebelum sekolah menghubungi saya.

"Kepada ayah di luar sana, jangan lakukan kesilapan sebegini. Maafkan ayah ya Iqi. Terima kasih cikgu-cikgu yang membantu," katanya dalam muat naik di akaun Facebook, semalam.

Dalam klip tular berdurasi seminit 10 saat itu, Shahrol menjelaskan bahawa dirinya telah menerima panggilan daripada guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu Kluang, selepas beberapa jam menghantar anaknya ke sekolah.

Sedangkan anaknya didaftarkan isteri di SK Tunku Mahmood, Kluang.

Guru sekolah berkenaan dilihat turut menegur kecuaian Shahrol sambil menyatakan anaknya seorang yang bijak kerana menyedari berada di sekolah yang silap sekali gus memaklumkan guru kelas dihadirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 11:58 AM