Redzuan Muharam

Kota Bharu: Besarnya pengorbanan seorang kakak kerana sanggup menyerahkan anak bongsu lelaki, Aqiel Rizqi Mohd Noor yang baru berusia tiga bulan kepada adik kandungnya.

Meskipun berat untuk melepaskan, Nurul Amilin Mansor, 36, mengikhlaskan hati demi menggembirakan Nurul Atifah, 28, yang sudah enam tahun berkahwin tetapi belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata.

Berkongsi kisah itu, Nurul Amilin berkata, dia dan suami, Mohd Noor Azam Mohd Anuar, 36, dikurniakan Aqiel Rizqi yang juga anak keempat selepas lima tahun menunggu.

Jadi, kelahiran Aqiel Rizqi menjadi penyeri buat keluarga malah semua anaknya terutama yang ketiga sangat gembira kerana mendapat adik baru.

Namun, katanya, sebagai kakak sulung, dia tergerak hati menyerahkan Iqie (nama panggilan anaknya) kerana tidak sanggup melihat adik yang sudah menunggu lama untuk mendapat zuriat sedih memandangkan tahun ini sahaja tiga ahli keluarga mereka hamil.

"Saya tergerak hati untuk serahkan Iqie selepas berbincang dan mendapat pandangan serta keizinan suami.

"Alhamdulillah, suami tiada halangan dan mengizinkan, selain amat terbuka mengenai perkara ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

GAMBAR Nurul Amilin dan anak bongsunya, Aqiel Rizqi sebelum diserahkan kepada adiknya,  Nurul Atifah. FOTO Nurul Amilin.
GAMBAR Nurul Amilin dan anak bongsunya, Aqiel Rizqi sebelum diserahkan kepada adiknya, Nurul Atifah. FOTO Nurul Amilin.

Nurul Amilin berkata, dia yakin untuk menyerahkan Aqiel Rizqi kepada Nurul Atifah kerana melihat cara adiknya melayan anaknya dan anak saudara lain.

"Adik saya itu sukakan budak malah sanggup datang dari Kuantan ke sini (Kota Bharu) pada hari cuti untuk bermain dengan anak buahnya.

"Sebelum ini, saya memberi peluang kepada adik untuk menjaga Iqie selama seminggu... Alhamdulillah mereka nampak serasi kerana Iqie tidak meragam atau menangis.

"Ini meyakinkan saya untuk menyerahkan Iqie kepada adik sebagai anak angkat kerana dia bukannya orang luar tetapi darah daging saya sendiri," katanya.

Berkongsi perasaannya, Nurul Amilin mengakui sedih untuk berpisah dengan Aqiel Rizqi, bagaimanapun dia yakin anaknya akan dijaga dengan baik dan diberi kasih sayang oleh adiknya itu.

AQIEL Rizqi bersama ibu dan bapa saudaranya, Nurul Atifah serta suami. FOTO Ihsan Nurul Amilin Mansor.
AQIEL Rizqi bersama ibu dan bapa saudaranya, Nurul Atifah serta suami. FOTO Ihsan Nurul Amilin Mansor.

"Ikutkan saya dan suami mahu hantar sendiri Iqie ke Kuantan namun disebabkan ada urusan lain, kami berjumpa adik dan suaminya di Slim River, Perak selepas majlis aqiqah pada 5 Februari lalu.

"Jujurnya memang sedih kerana saya ibu yang mengandung dan melahirkan Iqie malah menangis sepanjang perjalanan pulang dari Perak ke Kelantan.

"Tetapi kesedihan itu tidak lama mengenangkan akan bertemu Iqie juga nanti. Lagipun, saya dan adik sudah ada perjanjian iaitu membesarkan Iqie bersama walaupun berjauhan.

"Iqie juga akan diambil ketika kami sekeluarga bercuti kerana mahu dia ada memori untuk dikenang bersama kami serta adik beradik lain apabila besar nanti," katanya yang tidak menyangka gambar dan kisahnya akan tular di laman sosial

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 8:00 PM