HIZIR bersama lima anaknya ketika bertanding di Kemaman, Terengganu. Foto Facebook Zuriani Karia
HIZIR bersama lima anaknya ketika bertanding di Kemaman, Terengganu. Foto Facebook Zuriani Karia
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Ketika kanak-kanak lain asyik leka dengan permainan video, anak-anak Mohammad Hizir Ilias tidak begitu mengendahkannya sebaliknya mereka lebih suka meluangkan masa bermain pingpong, sukan yang kini berada terlalu dekat di hati mereka.

Tidak hairan daripada tujuh adik-beradik berusia dari empat hingga 14 tahun, sekurang-kurangnya empat daripadanya sudah dipilih untuk menjalani latihan bersama skuad negeri mahupun mewakili daerah.

Mereka mendapat latihan awal di Sekolah Kebangsaan Taman Melawati 2 di bawah kendalian Cikgu Kamarul, jurulatih Azizul dan Safri Don. Kemudian mereka mula serius dengan latihan di Pusat Pingpong A Power Team di bawah kendalian jurulatih Jong Min Shing, Hng Kim Shan, Yi Song dan Yik Min.

Hizir, 40, yang turut menjadi jurulatih peribadi anak-anaknya, pernah bermain pingpong namun tidak secara serius dan menjuarai beberapa kejohanan dan kini beliau lebih suka menumpukan kepada usaha mengembangkan bakat permainan anak-anaknya yang dilihat mempunyai potensi lebih besar.

"Saya ada main dulu tapi tak seriuslah... pernah menang sukan antara fakulti UiTM (Universiti Teknologi Mara), johan beregu sukan MRTC (Mass Rapid Transit Corporation) dan naib juara berpasukan sukan KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad). Tapi dah lama tak main dan kini fokus kepada anak-anak saja," katanya ketika dihubungi.

MUHAMMAD Faris Danial ketika menjuarai Piala Adun Hulu Kelang tahun lalu. Foto Facebook Zuriani Karia.
MUHAMMAD Faris Danial ketika menjuarai Piala Adun Hulu Kelang tahun lalu. Foto Facebook Zuriani Karia.

Anak ketiganya Muhammad Faris Danial, 12, mencetus kejutan besar apabila menjuarai acara perseorangan kejohanan single handicap Piala Adun Hulu Kelang, Saari Sungib tahun lalu dengan menewaskan beberapa pemain yang jauh lebih dewasa dan berpengalaman daripadanya.

Faris kini menyertai latihan skuad B-13 Kuala Lumpur dan turut dipilih bagi menyertai pemilihan pasukan B-13 kebangsaan hujung tahun lalu di Morib.

Selain pernah muncul lima terbaik Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) bagi pertandingan kemahiran pingpong secara atas talian, dia juga muncul tiga terbaik dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Selangor (MSSS) dan juara Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Gombak, naib johan berpasukan MSSD Gombak dan pernah mewakili Kelantan bagi kejohanan Milo Hopes B-10 pada 2019.

Anak sulungnya, Muhammad Haris Danial, 14, pernah muncul naib juara berpasukan MSSD Gombak dan terpilih mewakili Gombak ke MSSS manakala anak keempat Mia Aleesya Dania, 10, meraih tangga keempat MSSD Gombak, nombor lima MSSS dan mewakili Selangor ke MSSM selain pernah mewakili Kelantan bagi kejohanan Milo Hopes B-10 tiga tahun lalu.

Seperti Faris, anak kelimanya Muhammad Faiz Danial, 9, juga terpilih menyertai latihan skuad Kuala Lumpur ketika ini di bawah kendalian jurulatih Kuala Lumpur iaitu Tan Cheng Keat, Shakirin Ibrahim dan Foh Zheng Liu.

Mia Sara Dania, 13, dan Muhammad Arfan Danial, 7, turut tidak melepaskan peluang mengembangkan bakat mereka dalam sukan pingpong malah anak bongsu Hizir dan isterinya Zuriani Karia, 40, Mia Hana Dania yang kini berusia empat tahun juga sudah mula berjinak-jinak memegang blade pingpong.

"Isteri saya tak main, dia seorang saja tak main. Tapi dia sentiasa bersama saya bantu hantar anak ke pusat latihan dan pertandingan di luar. Kadang-kadang dia yang hantar anak-anak ke latihan dan tunggu. Isteri bagi sokongan kuat dan dia sering mengemas kini kegiatan dan pencapaian anak-anak di laman Facebook," kata Hizir yang kini bertugas dengan MRTC.

HIZIR bersama isteri dan tujuh anaknya. Foto Mohammad Hizir Ilias.
HIZIR bersama isteri dan tujuh anaknya. Foto Mohammad Hizir Ilias.

Ditanya mengenai bagaimana anak-anaknya boleh terjerumus ke dalam sukan pingpong, Hizir mendedahkan dua sebab.

"Puncanya ada dua bagaimana anak-anak mula bermain pingpong. Pertama sebab anak sulung saya Muhammad Haris Danial. Semasa dia di Darjah 4 patutnya pada sebelah petang, dia akan naik van terus ke sekolah tahfiz dari sekolah kebangsaan.

"Tapi masa itu ustazah tahfiz dia telefon bagitahu dia tak hadir ke sekolah. Isteri saya masa itu dalam pantang tak senang duduk dan cuba cari dia di sekolah. Anak cakap dia terpilih sertai pasukan sekolah dalam sukan pingpong. Tapi bila jumpa guru yang mengendalikan pingpong Cikgu Kamarul, beliau beritahu anak sulung kami hanya sertai sekali main dan bukan wakili sekolah. Kemudian cikgu terus nasihat kalau serius nak main boleh mula hantar ke pusat pingpong di luar.

"Punca kedua sebab anak-anak main pingpong, saya hantar ke tahfiz lepas sekolah kebangsaan bagi gantikan dengan kelas Kafa. Ustazah tahfiz bagi nasihat main sukan pingpong supaya dapat tajamkan otak mereka untuk menghafal."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 5:21 PM