SJKT Permas Jaya. FOTO Google Maps
SJKT Permas Jaya. FOTO Google Maps
BERNAMA

Johor Bahru: Subjek Bahasa Melayu menjadi 'pengikat kasih' bagi Wan Nor Izzaidah Wan Aziz dan anak muridnya sehingga menguatkan tekad beliau untuk terus mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Permas Jaya di sini.

Wan Nor Izzaidah, 25, berkata, meskipun berada di sekeliling murid dan rakan guru berlainan agama dan bangsa, namun keakraban dan keserasian bersama mereka membuatkannya tidak mahu berpindah ke sekolah lain.

Anak jati Kelantan ini berkata dia tidak mengambil masa terlalu lama untuk menyesuaikan diri kerana penerimaan pelajar dan guru-guru termasuk guru besar yang tidak membeza-bezakan antara satu sama lain mereka umpama satu keluarga yang besar.

"Banyak (kenangan manis) di sini, setiap kali ada program yang mengeratkan hubungan dengan guru dan anak murid memang semuanya manis-manis. Yang paling manis apabila apa yang kita ajar murid dapat faham dan ikut.

"Antara pencapaian saya termasuk berjaya melatih seorang murid untuk pertandingan dendangan syair Bahasa Melayu peringkat daerah antara sekolah-sekolah dan saya gembira pelajar tersebut boleh melakukan dengan baik," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelasnya, dalam pada mengajar anak muridnya Bahasa Melayu, dia juga berpeluang mengenali dengan dekat masyarakat India menerusi Bahasa Tamil serta memahami budaya dan sambutan seperti Deepavali dan Ponggal.

Bekas penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam Bangi itu berkata dia bertuah dilahirkan di negara ini kerana kesefahaman dan keserasian amat mudah dicapai memandangkan masyarakat di negara ini amat bertoleransi dan bersifat terbuka.

Sementara itu, Guru Besar SJKT Permas Jaya, K Sagilah, 58, berkata Cikgu Wan adalah seorang guru yang disayangi ramai kerana sifatnya ceria, peramah dan mendidik pelajar dengan ikhlas.

"Cikgu Wan ni memang disayangi di sini kerana sifatnya yang peramah. Di sekolah ini, layanan sama sahaja dengan cikgu-cikgu yang lain tidak kira kaum dan Wan sanggup melibatkan diri dalam semua aktiviti di sekolah.

"Macam di sini, kalau kita beli kain sari kita tetap akan beli untuk Wan untuk dijadikan baju kurung, macam baru-baru ini sambutan Hari Guru kita beli warna yang sama untuk semua termasuk Wan dan dua pembantu prasekolah saya yang berbangsa Melayu," kata Sagilah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 2:06 PM