GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang meluluskan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) 2024 sebanyak setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM1,200 kepada seluruh anggota perkhidmatan awam negeri.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata, BKKA itu diberikan sebagai tanda apresiasi dan penghargaan kepada seluruh anggota perkhidmatan awam Pulau Pinang yang disifatkan nadi penggerak kerajaan negeri.

Beliau yang juga EXCO Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi berkata, BKKA itu akan dibayar pada 15 Mac ini dianggar membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM7.44 juta daripada kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri meluluskan BKKA untuk tahun 2024 ini iaitu sebanyak setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM1,200 kepada seluruh anggota perkhidmatan awam negeri sebagai penghargaan kepada mereka.

"Dalam pada itu, BKKA ini turut dipanjangkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Berkanun dan anak syarikat kerajaan negeri tertakluk kepada keupayaan kewangan masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini, tadi.

Kon Yeow memaklumkan, serentak dengan itu juga, BKKA sebanyak RM300 turut diberikan kepada penyelia dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru sekolah rendah agama rakyat (SRAR), guru sekolah menengah agama rakyat (SMAR).

Beliau menambah, BKKA itu turut akan dibayar kepada kakitangan SRAR, SMAR serta sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) selain guru tahfiz, pondok, tadika Islam (TADIS) serta guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina negeri Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 3:12 PM