GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang meluluskan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, sebanyak 0.75 gaji bulanan atau minimum RM1,500 kepada penjawat awam di negeri ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow dalam satu kenyataan di sini, hari ini, berkata, BKK itu diluluskan menerusi Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK), semalam.

Beliau berkata, pemberian itu dibayar pada 17 April 2023 itu dan dipanjangkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri.

"Sebagai tambahan, BKK berjumlah RM300 masing-masing turut disalurkan kepada penyelia dan guru Kelas al-Quran serta Fardu Ain (Kafa), guru sekolah rendah agama rakyat (SRAR), guru sekolah menengah agama rakyat (SMAR).

"Pemberian BKK turut membabitkan kakitangan SRAR, SMAR serta sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), guru tahfiz, pondok dan tadika Islam (Tadis) serta guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina negeri Pulau Pinang," katanya.

Kon Yeow berkata bayaran BKK itu dianggarkan membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM10.95 juta kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata, selain sebagai persediaan menyambut Syawal, BKK itu adalah tanda penghargaan kepada anggota perkhidmatan awam negeri atas sumbangan dan komitmen mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 9:35 AM