Ahli Dewan Undangan Dewan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari ketika ditemubual susulan ada faktor lain yang menyebabkan beliau menyokong Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Plaza Masalam.  FOTO GENES GULITAH
Ahli Dewan Undangan Dewan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari ketika ditemubual susulan ada faktor lain yang menyebabkan beliau menyokong Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Plaza Masalam. FOTO GENES GULITAH
Oleh Norzamira Che Noh


Shah Alam: Ahli Dewan Undangan Negeri Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari mendakwa masalah dalaman serta rasa terpinggir menyebabkan beliau membuat keputusan menyokong kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau mendakwa tidak dipedulikan serta tidak lagi relevan kepada parti berkenaan.

"Saya berjaya menubuhkan parti Bersatu Selangor dalam masa yang singkat dengan cabaran pertama ialah Pilihan Raya Umum (PRU-14) yang mana Bersatu menang enam daripada sembilan kerusi yang dipertandingkan.

"Bagaimanapun akhir-akhir ini saya tidak lagi dipedulikan dan dipinggirkan daripada Bersatu.

"Saya berkata sedemikian kerana semasa PRU-15, satu perjanjian antara Bersatu, Pas dan Gerakan yang mana dalam perjanjian bertulis itu, pihak-pihak bersetuju untuk agihan kerusi Parlimen Selangor dengan kerusi Kapar dipersetujui untuk agihkan kepada Bersatu.

"Bagaimanapun semasa mesyuarat akhir penentuan pengagihan kerusi-kerusi Parlimen Selangor, kerusi Parlimen Kapar telah diambil oleh Pas tanpa mengendahkan perjanjian dibuat sebelum ini disebabkan adanya percaturan politik yang tidak sepatutnya diperlakukan.

"Dalam mesyuarat tersebut, tiada sesiapa pun yang pedulikan hujah-hujah saya dan mereka mengambil keputusan yang drastik tanpa memikirkan bahawa Bersatu sepatutnya diberikan peluang untuk bertanding di Parlimen Kapar," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN-15) pula, banyak nama Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian dan beberapa nama yang dicadangkan oleh beliau ditolak kepimpinan tertinggi Bersatu dengan alasan tidak masuk akal.

Katanya, nama itu diusulkan olehnya selepas diminta oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Hasil daripada penolakan itu, saya dihina dan dikeji kononnya saya gagal untuk menamakan mereka sebagai calon dan akhir sekali saya dipecat daripada jawatan Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Selangor.

"Saya mengambil keputusan drastik ini kerana merasakan diri tidak lagi diperlukan oleh Bersatu. Saya memohon maaf kepada penduduk dan pengundi saya atas tindakan saya ini.

"Saya juga memohon maaf kepada Presiden dan terima kasih kerana beliau memilih saya sebagai Pengerusi dan Pengasas Bersatu Selangor," katanya.

Ditanya adakah keahliannya serta jawatan Ketua Bahagian Bersatu Kapar terlucut, Abdul Rashid berkata, setakat ini beliau masih memegang jawatan itu berikutan pindaan perlembagaan Bersatu belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Kalau ikut perundangan apabila perlembagaan itu hendak dilaksanakan, ia akan dibuat selepas urusan (kelulusan) ROS.

"Jadi pada saya, tindakan Bersatu meminda perlembagaan tersebut adalah untuk masa depan Bersatu dan saya rasa tidak boleh digunakan kepada mereka yang mengambil tindakan awal," katanya.

Pada 6 Mac lalu, Abdul Rashid dilaporkan berkata, keputusannya menyokong kepimpinan Amirudin dibuat selepas meneliti perkembangan semasa dan mengambil kira beberapa faktor utama.

"Keputusan ini dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan setelah saya meneliti Titah Ucapan Sultan Selangor yang memuji pentadbiran Kerajaan Selangor berada di landasan tepat, demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 4:16 PM