LOGO halal. GAMBAR hiasan
LOGO halal. GAMBAR hiasan
Suhaila Shahrul Annuar


MANA-mana pihak yang cuba mengelirukan pengguna dengan status halal boleh didenda sehingga tidak melebihi RM5 juta jika kesalahan pertama dilakukan oleh suatu pertubuhan perbadanan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, tindakan itu boleh diambil berpandukan Perintah Perihal Dagangan (Takrifan Halal) 2011.

“Jika kesalahan dilakukan oleh bukan pertubuhan perbadanan, ia boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Nordin berkata, pengusaha restoran dan pengeluar produk makanan dinasihat supaya mendapatkan sijil halal dari JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi memastikan jaminan halal dan kualiti makanan.

Bagaimanapun, katanya, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) adalah bersifat sukarela dan setakat ini tiada peraturan yang mewajibkan mana-mana syarikat untuk mendapatkannya.

Menurutnya, SPHM bukan satu kewajipan berpandukan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) dan (Takrif Halal) 2011.

“Justeru, cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal kepada semua premis makanan memerlukan pandangan daripada pelbagai pihak.

“Setakat ini tiada peraturan yang mewajibkan mana-mana syarikat untuk mendapatkan SPHM dari JAKIM atau JAIN dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

“Selain itu, peniaga dan pengusaha seharusnya mempunyai sensitiviti yang tinggi untuk membangun perusahaan dalam memenuhi keperluan pengguna Islam dan bukan Islam di negara ini manakala pengguna pula hendaklah memilih hanya premis yang mempunyai sijil halal yang diyakini sah saja,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Persatuan Pengusaha Makanan Melayu Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor (PERMAS), Ayob Abd Majid yang mencadangkan supaya JAKIM mewajibkan pengusaha restoran untuk memiliki sijil halal sebelum beroperasi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 2:24 PM