ANGGOTA bomba membawa naik seorang daripada mangsa yang ditemui. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba membawa naik seorang daripada mangsa yang ditemui. FOTO ihsan Bomba
Juwan Riduan


Lahad Datu: Pandu melulu selepas bertengkar dipercayai punca dua maut kemalangan apabila kereta dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam laut di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, dalam kejadian itu kereta dipandu lelaki, 26, bersama seorang lelaki dipercayai bapa mentuanya.

Katanya, menurut saksi kejadian, mangsa percayai bertengkar mulut dengan mentuanya.

"Ketika itu, saksi menyuruh mangsa menghantar bapa mentuanya balik ke rumah dan datang semula ke lokasi untuk mengambil ahli keluarganya yang lain yang turut sama berada di lokasi.

"Menurut saksi lagi, dia sendiri mengiringi mangsa ke kenderaan. Ketika dalam kereta, mangsa yang memandu manakala bapa mentuanya duduk di bahagian tempat duduk penumpang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pada masa yang sama tiba-tiba kereta itu dipandu secara melulu oleh mangsa dan terus terjunam ke dalam laut.

"Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari kereta dengan bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu bersama orang awam yang ada di lokasi kejadian.

"Bagaimanapun Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Katanya lagi, hasil siasatan pihak polis mendapati punca kemalangan adalah disebabkan kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan dengan baik sehingga menyebabkan kenderaan terjunam ke dalam laut.

"Difahamkan mangsa bersama mentuanya dan keluarganya yang lain berada di kawasan itu untuk beriadah.

"Siasatan diteruskan dan mana-mana individu yang melihat kejadian ini, boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik IPD Lahad Datu, Inspektor Muhammad Rasul Ramlee di talian 089-881255 sambungan 414 untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Berita berkaitan:

Dua maut kereta terjunam dalam laut

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 1:06 PM