FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Agensi

Palembang: Gara-gara sakit hati kerana sering dimarahi, seorang wanita di Ogan Komering Ilir, Sumatera Selatan, bertindak meracun ibu mentuanya hingga mati.

Tribunnews melaporkan, suspek, Dewi Asmara, 45, dipercayai melakukannya dengan mencampurkan racun biawak ke dalam masakan ikan pindang salai.

Difahamkan, masakan itu disediakan khusus untuk ibu mentuanya.

Ketua Polis Ogan Komering Ilir, Alamsyah Pelupessy berkata, mangsa yang berusia 61 tahun meninggal dunia kira-kira 11 pagi, dengan mulutnya berbuih.

Beliau berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia selepas menikmati hidangan berkenaan.

"Selain mangsa, tiga kucing turut ditemui mati di luar rumah.

"Pembunuhan itu dipercayai bermotifkan dendam iaitu suspek melakukannya kerana sakit hati akibat sering dimarahi ibu mentuanya.

"Konflik itu mungkin timbul disebabkan mereka tinggal bersama dan sering bertengkar," katanya

Sementara itu, berdasarkan rakaman video yang tular di laman sosial, Dewi memaklumkan dia sebenarnya mahu meracun suami dan bukan ibu mentuanya.

"Saya mahu meracun suami kerana saya menerima layanan buruk daripadanya dan dia juga mempunyai ramai isteri," katanya.

Difahamkan, mayat mangsa dibawa ke Hospital Polri M Hassan.

Ahli keluarga juga memohon bedah siasat dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Dalam pada itu, suspek kini ditahan di Balai Polis Tudung Selapan.

Wanita itu bakal berdepan pendakwaan dan boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 6:20 AM