Ahli pertubuhan parti politik dan NGO yang hadir perhimpunan di laluan pintu masuk Parlimen. FOTO Azhar Ramli
Ahli pertubuhan parti politik dan NGO yang hadir perhimpunan di laluan pintu masuk Parlimen. FOTO Azhar Ramli
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis akan memanggil peserta perhimpunan membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan isu had umur kelayakan mengundi 18 tahun yang diadakan di Jalan Parlimen, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya juga menjalankan siasatan berhubung perhimpunan yang diadakan itu.

"Dalam perhimpunan berkenaan sekumpulan pemuda dari Pakatan Harapan dan badan bukan kerajaan (NGO) hadir di Padang Merbok dan berarak menuju ke Jalan Parlimen.

"Semua yang terbabit dalam perhimpunan itu akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu mengadakan perhimpunan tanpa notis; dan Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) 2021.

"Polis menyeru orang ramai supaya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kegagalan mematuhi perintah ini membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan perhimpunan berkenaan boleh menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.

Terdahulu, kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada golongan mahasiswa dan NGO mengadakan Himpunan Tuntut Undi 18 di hadapan bangunan Parlimen, di sini.

Himpunan secara aman itu diadakan sebagai meluahkan rasa kesal terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang gagal melaksanakan menetapkan had umur kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik pada Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 8:31 PM