SEKITAR 50 peserta berkumpul di Plaza Tugu Negara bagi menyertai himpunan tuntut #Reformasi100Peratus di Parlimen. FOTO Asyraf Hamzah
SEKITAR 50 peserta berkumpul di Plaza Tugu Negara bagi menyertai himpunan tuntut #Reformasi100Peratus di Parlimen. FOTO Asyraf Hamzah
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil dan Siti Nurhidayah Mohd Yunus


Kuala Lumpur: Pihak penganjur yang terbabit dalam perhimpunan #Reformasi100Peratus di sini, hari ini akan dipanggil untuk dirakam keterangan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahya berkata, ia bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan yang diadakan berhampiran bangunan Parlimen awal pagi tadi.

"Kita akan panggil. Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, dianggarkan sekitar 50 peserta berkumpul di Plaza Tugu Negara bagi menyertai himpunan tuntut #Reformasi100Peratus di Parlimen, di sini hari ini.

Perhimpunan terbabit bagi menyerahkan tuntutan Reformasi 100 peratus dijanjikan antaranya menolak keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dan rasuah.

Tinjauan di lokasi mendapati peserta perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu mula berkumpul di lokasi ditetapkan sejak 7.30 pagi.

Lokasi itu yang terletak lebih kurang 900 meter dari bangunan Parlimen dikawal ketat oleh anggota dan pegawai polis.

Seramai enam Ahli Parlimen hadir bagi menerima dokumen tuntutan daripada pihak penganjur perhimpunan iaitu empat dari Pakatan Harapan, William Leong Jee Keen (Selayang),Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), Dr Mohammed Taufiq Johari (Sungai Petani), dan Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang).

Turut hadir Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dari Perikatan Nasional dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman dari parti Muda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 1:27 PM