SEKITAR 50 peserta berkumpul di Plaza Tugu Negara bagi menyertai himpunan tuntut #Reformasi100Peratus di Parlimen, semalam. FOTO arkib NSTP
SEKITAR 50 peserta berkumpul di Plaza Tugu Negara bagi menyertai himpunan tuntut #Reformasi100Peratus di Parlimen, semalam. FOTO arkib NSTP
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Penganjur perhimpunan perlu menghormati hak orang lain dan tidak boleh sewenang-wenangnya berhimpun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya sedia maklum dengan peruntukan undang-undang berhubung hak untuk berhimpun namun ada peraturan yang perlu dipatuhi.

"Kita tiada masalah, semua ada hak dan perkara itu terjamin dalam undang-undang yang diperuntukkan.

"Tetapi ikutlah saluran dan proses yang betul, perlu maklum lima hari sebelum program atau himpunan diadakan dan disertakan dengan segala dokumen berkaitan termasuk kebenaran tuan punya tanah dan sebagainya," katanya hari ini.

Menurutnya, langkah itu bagi membantu polis membuat persediaan bagi menjaga keselamatan semua pihak terbabit.

Katanya, tanggungjawab polis adalah sebagai pemudahcara serta memastikan kelancaran semua pihak dalam setiap apa yang hendak dijalankan.

"Kena ingat, bila kita bicara tentang hak, dan hak kita ada, hak orang lain juga di dalamnya, polis perlu mengatur gerak dari segi anggota dan sebagainya.

"Bukannya bila kata nak himpun terus berhimpun, perlu ada prosesnya dan ikut saluran yang betul," katanya.

Allaudeen berkata, pihaknya akan memanggil individu berkenaan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Terdahulu Harian Metro melaporkan tiada sebarang pemberitahuan perhimpunan diterima pihak polis berhubung penganjuran Perhimpunan Tuntut Reformasi 100 Peratus di Parlimen, di sini.

Susulan itu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyerahkan notis pemakluman kepada polis pada kelmarin iaitu sehari sebelum perhimpunan berkenaan.

Semalam, dianggarkan kira-kira 50 peserta dilapor berkumpul di Plaza Tugu Negara bagi menyertai himpunan tuntut #Reformasi100Peratus di Parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 2:46 PM