KETUA Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid. FOTO Bernama
KETUA Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid. FOTO Bernama
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Tiada sebarang pemberitahuan perhimpunan diterima pihak polis berhubung penganjuran Perhimpunan Tuntut Reformasi 100 Peratus di Parlimen, di sini, Selasa ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya mengesan poster tular di media sosial berkaitan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) untuk mengadakan perhimpunan itu, hari ini.

"Dalam poster itu, orang ramai diseru dengan berhimpun di Tugu Negara dan kemudian berarak ke Parlimen.

"Setakat ini, polis tidak menerima sebarang pemberitahuan perhimpunan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 daripada mana-mana pihak yang mahu mengadakan perhimpunan itu.

"Himpunan tanpa pemberitahuan adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahi undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 10:46 PM