Harga bawang pada tinjauan di pasar sekitar Lembah Klang.
Harga bawang pada tinjauan di pasar sekitar Lembah Klang.
Oleh Siti Norhidayah Mohd Yunus dan Nurul Najwa Mohd Noordin & Nor Syazrina Muhamad Tahir


Kuala Lumpur: Bukan sahaja pengguna, malah peniaga turut meluahkan keresahan susulan kenaikan harga bawang yang kini mencecah RM10 hingga RM20 sekilogram yang dianggap tidak masuk akal. 

Tinjauan Harian Metro di beberapa pasar utama di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya mendapati bawang merah ros India kini dijual pada harga RM20 sekilogram berbanding RM16 sekilogram sebelum ini, manakala bawang putih dijual RM15 sekilogram berbanding RM13 sekilogram awal tahun ini dan bawang merah besar dijual RM10 sekilogram berbanding RM6 sekilogram sebelum ini.

Rata-rata peniaga mendakwa harga bahan itu meningkat antara RM2 hingga RM4 sekilogram kerana pembekal menjual dengan harga lebih tinggi kepada mereka atas alasan bekalan bawang import berkurangan.

Peniaga di Pasar Chow Kit, Arokiam Samy, 79, berkata kenaikan harga bawang adalah kerana ia mendapat permintaan tinggi namun bekalannya semakin terhad.

Menurutnya, India tidak membenarkan eksport bawang menyebabkan pembekal di Malaysia kini bergantung kepada pembekal dari negara lain seperti Myanmar dan Thailand.

Tambahnya, sesetengah pembekal juga menawarkan harga yang tinggi, memaksanya peniaga menjual kembali dengan harga yang lebih mahal kepada pembeli.

"Satu guni bawang merah sahaja mencecah RM57 dan ini sangat membebankan kepada peniaga seperti saya.

"Saya juga terpaksa mencari di seluruh ibu kota untuk mendapatkan harga bawang yang paling berpatutan," katanya.

Manakala pembantu kedai di Pasar Awam Presint 8, Putrajaya, Ang Mui Im, 46, berkata proses pemilihan bawang berkualiti juga, menjadi punca dia terpaksa menawarkan harga lebih tinggi.

"Selain kenaikan harga dari pembekal, saya juga perlu membayar gaji pekerja dan usaha untuk memproses bawang yang berkualiti tinggi.

"Kami perlu pastikan bawang elok, kupas dan terpaksa buang mana yang sudah rosak. 

"Kalau ikutkan faktor ini, untung bersih saya hanya RM1.50 sahaja," katanya.

Ang Mui menawarkan RM10 sekilogram bagi bawang merah Burma, RM13 sekilogram bawang kecil India dan RM15 sekilogram bawang ros India.

Sementara itu, seorang pengguna, Nur Ain Hidayah Mohd Tohid, 35, berkata dia terpaksa pergi ke beberapa kedai untuk mendapatkan bawang yang ditawarkan pada harga lebih munasabah.

"Bawang sekarang memang mahal, saya perlu pusing satu kawasan Putrajaya hanya untuk dapatkan yang murah.

"Tapi tidak dinafikan itu memang membazir masa dan tenaga, memang penat," katanya.

Menurutnya, dia amat terbeban kerana perlu menyediakan kos yang lebih tinggi bagi membeli bawang untuk perniagaan makanannya.

"Jadi bila harga naik saya buntu memikirkan macam mana nak tanggung kos modal dengan harga bahan asas yang naik secara mendadak ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 4:07 PM