TANGKAP layar video tular menunjukkan pihak berkuasa melakukan pemeriksaan ke atas mayat lelaki di Taman Pelangi Semenyih 2. FOTO tular
TANGKAP layar video tular menunjukkan pihak berkuasa melakukan pemeriksaan ke atas mayat lelaki di Taman Pelangi Semenyih 2. FOTO tular
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kajang: Hasil bedah siasat mendedahkan tiada kecederaan ketara membabitkan kematian seorang lelaki yang diikat dan dipukul sehingga maut di Taman Pelangi, Semenyih 2, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini lima suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Bedah siasat menunjukkan tiada kecederaan ketara yang boleh menyebabkan kematian. Punca kematian masih dalam siasatan dan masih menunggu keputusan ujian makmal," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, seorang lelaki bukan hanya ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam selepas kemalangan, bahkan tangannya diikat dan dia dipukul hingga maut.

Kejadian tragis itu berlaku semalam, selepas lelaki berusia 42 tahun terbabit yang memandu Proton Saga kelabu terbabit kemalangan dengan penghantar makanan.

Sejurus kemalangan itu, mangsa dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2, di sini sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat pada 9.20 malam mengenai kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 6:56 PM