SYAZWAN menenangkan ibunya Khalidah Ahmad, 64, (dua dari kiri) bersedih dengan Shahril yang dipercayai dipukul serta diikat selepas kemalangan dekat Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor. FOTO Azrul Edham.
SYAZWAN menenangkan ibunya Khalidah Ahmad, 64, (dua dari kiri) bersedih dengan Shahril yang dipercayai dipukul serta diikat selepas kemalangan dekat Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor. FOTO Azrul Edham.
Ahmad Hasbi


Nilai: Bapa kepada lelaki yang diikat dan dipukul hingga maut selepas terbabit kemalangan dekat Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor, Selasa lalu meluahkan rasa sedih atas kejadian menimpa anaknya.

Samad Bakar, 70, juga memberitahu tidak sanggup melihat video tular 'serangan' ke atas anaknya, Shahril, 41, dan berharap pelaku dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal.

Warga emas itu berkata, dia hanya mengetahui kejadian selepas dihubungi anak ketiga pada 1.30 pagi, hari kejadian.

"Ketika itu anak hanya beritahu arwah dipukul. Tiada pula dia maklum yang dia (Shahril) sudah meninggal dunia.

"Saya mula bersiap ke lokasi, namun anak beritahu tidak perlu kerana arwah sudah dibawa ke Hospital Serdang," katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Ulu Beranang di sini, hari ini selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin.

Samad berkata, walau tidak mengetahui kejadian sebenar yang mendorong kejadian berlaku, dia tetap beranggapan arwah tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian.

"Arwah anak kedua daripada tujuh beradik dan seorang yang baik, malah tidak pernah melawan apabila dimarahi. Dia masih bujang dan banyak membantu saya serta isteri di kedai makan kami

"Arwah tidak menunjukkan tanda-tanda yang dia akan tinggalkan kami, namun dua hari lalu dia secara tiba-tiba pulang dan tidur di rumah, sedangkan selama ini dia tidur di kedai," katanya.

Sementara itu, adik Allahyarham, Syazwan, 27, berkata, keluarga menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang yang setimpal terhadap pelaku menyebabkan kematian abangnya.

"Mereka tidak patut dilepaskan begitu saja kerana telah menyebabkan kematian. Saya ada dapat rakaman keseluruhan kejadian daripada orang awam yang berada di lokasi dan memaklumkan bersedia jadi saksi.

"Oleh itu kami harap ada keadilan buat arwah," katanya.

Sementara itu, Mohd Asna berpendapatan, tindakan pelaku yang menyebabkan kematian sangat tidak wajar dan keterlaluan.

"Jika marah atas insiden berlaku, tidak sepatutnya dia dihukum sebegitu sehingga menyebabkan kematiannya. Ramai terperanjat seolah-olah tiada perikemanusiaan. Tidak patut ambil alih tugas polis hukum mangsa," katanya.

Beliau juga berkata, akan memastikan keluarga arwah mendapat pembelaan atas apa yang berlaku.

Media semalam melaporkan seorang lelaki bukan hanya ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam selepas kemalangan, bahkan tangannya diikat dan dia dipukul hingga maut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 5:26 PM