SHAH Rizad tidak mampu menahan sebak ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Bandar Baru Bangi. FOTO Sadiq Sani
SHAH Rizad tidak mampu menahan sebak ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Bandar Baru Bangi. FOTO Sadiq Sani
Suraya Roslan


Bangi: "Walaupun arwah ada sejarah lampau tetapi mereka tiada hak memperlakukan adik saya sedemikian, sepatutnya kes arwah perlu diselesaikan dengan polis, bukan cara ikat dan pukul."

Demikian luahan Shah Rizad Samad, 43, abang sulung kepada arwah Shahril Samad, 41.

Shahril terbunuh dalam kejadian kemalangan yang tular selepas dipukul dan diikat oleh sekumpulan penghantar makanan di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang.

Shah Rizad ditemui ketika hadir ke prosiding Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, di sini, selepas lima tertuduh didakwa membunuh adiknya hari ini.

"Memang saya geram dan puas hati dapat melihat mereka (tertuduh) hari ini.

"Dah lama kami sekeluarga nak lihat muka mereka, hari ini kami dapat lihat, semoga keadilan berpihak kepada arwah adik," katanya.

Mengulas kejadian yang berlaku ke atas adiknya, Shah Rizad berkata, dia tidak sangka adiknya diperlakukan begitu.

"Sudah ikat (mangsa), kenapa nak pukul lagi? Diikat bagaimana nak lindungi dirinya? Kami (ahli keluarga) hadir ke mahkamah nak tengok muka tertuduh (kes bunuh Shahril) dengan jelas.

"Kami tak mengenali tertuduh, sebelum ini tak dapat tengok muka tertuduh. Kes ini tular dan kami tahu mengenai pertuduhan daripada media.

"Ibu bapa tak sanggup datang mahkamah, selain akan melihat keperluan untuk melantik peguam pemerhati dalam kes ini. Kami geram tetapi nak buat macam mana? Keluarga akan mengikuti setiap perkembangan kes," katanya.

Ditanya mengenai karakter mangsa, Shah Rizad berkata, adiknya itu pendiam dan tidak pernah pukul adik-beradiknya lain.

"Masa kebumi (mangsa) kita tak sangka ramai yang datang. Tak tahu nak kata macam mana, kejadian ini memberi kesan kepada orang luar.

"Shahril tak pernah bermusuh dengan keluarga dan buat jahat. Anak saudara juga terkesan kerana rapat dengan Shahril yang masih bujang," katanya.

Shah Rizad berharap mereka yang terbabit dengan kejadian itu dikenakan hukuman setimpal.

"Kami tak harap banyak, cuma apa yang terjadi dapat selesaikan (prosiding mahkamah) dengan segera.

"Kami tiada kuasa untuk tentukan (hukuman), kita hanya mahukan keadilan," katanya.

Berita berkaitan

'Tak sanggup lihat video itu, harap pelaku dihukum setimpal'

SKMM minta hentikan kongsi video kekerasan lelaki kemalangan

Lelaki mati dipukul: 2 ditahan, mangsa positif dadah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 1:14 PM