PASUKAN D7 menahan seorang lelaki ahli pertubuhan haram menerusi Op Cantas di Kota Kinabalu.
PASUKAN D7 menahan seorang lelaki ahli pertubuhan haram menerusi Op Cantas di Kota Kinabalu.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seorang ahli pertubuhan haram berjaya ditahan dalam operasi Op Cantas yang dijalankan di sekitar daerah ini, semalam.

Lelaki warga tempatan berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti pertubuhan yang dikenali sebagai Armada Jalinan Borneo (AJB).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim berkata, suspek ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Katanya, hasil pemeriksaan polis turut merampas beberapa barang pertubuhan berkenaan yang disyaki menyalahi undang-undang mengikut Akta Pertubuhan 1966.

"Semakan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mendapati kumpulan ini tidak berdaftar.

"Pertubuhan itu dipercayai hanya wujud di Kota Kinabalu dan Lahad Datu yang disyaki menyalahi undang-undang," katanya semalam.

Azmi berkata, siasatan juga mendapati pertubuhan berkenaan kini mempunyai seramai kira-kira 10 ahli.

"Susulan penahanan suspek terbabit, pasukan serbuan merampas sehelai baju warna hitam tertera logo kumpulan berkenaan dan nombor 7.

"Turut dirampas sehelai kertas tertera ikrar angkat sumpah majlis kumpulan berkenaan dan lapan keping borang permohonan keahlian kumpulan itu," katanya.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti ahli kumpulan pertubuhan ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 50 Akta Pertubuhan 1966," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 4:14 PM