Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kegiatan sindiket pengedaran dadah di Lembah Klang, Sabah dan Sarawak terbongkar selepas dua lelaki tempatan ditahan bersama rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM7.6 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamaruddin Md Din berkata, mereka berusia 26 dan 41 tahun itu masing-masing dalang sindiket dan penjaga stor, ditahan dalam dua serbuan di sekitar Lembah Klang, 14 Februari lalu.

"Kami merampas 134.87 kilogram (kg) syabu, 25.54 kg ekstasi, 8.26 kg ketamin, 8.25 kg erimin 5 dan 6.05 kg serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang ditemui di kondominium mewah di Cheras.

"Turut dirampas sepucuk pistol tiruan jenis Airsoft bersama dua kelopak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, hari ini.

Mohd Kamaruddin berkata, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 membabitkan pelbagai aset sindiket berkenaan dianggarkan bernilai RM163,300.

"Aset yang disita membabitkan sebuah kereta Mercedes Benz E350, sebuah kereta Hyundai Sonata dan jam tangan berjenama.

"Keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dalam operasi ini berjumlah RM7.7 juta dengan dadah dirampas boleh dibekalkan kepada kira-kira 850,000 penagih," katanya.

MOHD Kamarudin bersama pegawainya menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas bernilai RM7.6 juta pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras. FOTO Hazreen Mohamad.
MOHD Kamarudin bersama pegawainya menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas bernilai RM7.6 juta pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras. FOTO Hazreen Mohamad.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah menjadikan kediaman mewah di kondominium sebagai stor menyimpan dadah sebelum diedar.

"Kita percaya mereka memilih kediaman kondominium disewa pada kadar RM2,500 sebulan kerana kawalan keselamatan di kawasan berkenaan adalah ketat.

"Sindiket dipercayai aktif sejak pertengahan tahun lalu dengan menjalankan kegiatan mengedar dadah untuk pasaran tempatan di Lembah Klang, Sabah dan Sarawak.

"Di Lembah Klang, sindiket ini akan mengambil pesanan daripada pelanggan sebelum dihantar oleh 'runner', manakala bagi pelanggan dari Sabah dan Sarawak, dadah akan dihantar menerusi bungkusan kurier," katanya.

Berdasarkan bungkusan, polis percaya bekalan dadah itu diperoleh dari Myanmar yang dibawa masuk menerusi jalan darat, sama ada dari Bukit Kayu Hitam, Kedah atau Sungai Golok, Kelantan.

"Semakan dilakukan mendapati salah seorang suspek mempunyai 22 rekod berkaitan jenayah dan dadah, manakala ujian air kencing mereka negatif dadah," katanya.

Mohd Kamaruddin berkata, pihaknya masih memburu saki-baki sindiket serta pihak lain yang terbabit dengan kegiatan itu.

"Kedua-dua suspek direman sehingga 27 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan berkaitan dadah boleh menghubungi Hotline JSJN di talian 012-2087222 untuk tindakan lanjut," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 4:21 PM