DADAH jenis syabu dan heroin base bernilai lebih RM600,000 yang dirampas dalam tiga serbuan di sekitar Lembah Klang pada 10 Ogos lalu.
DADAH jenis syabu dan heroin base bernilai lebih RM600,000 yang dirampas dalam tiga serbuan di sekitar Lembah Klang pada 10 Ogos lalu.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Penahanan seorang lelaki membawa kepada rampasan sejumlah heroin base dan syabu bernilai lebih RM600,000 dalam tiga serbuan di sekitar Lembah Klang pada 10 Ogos lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bermula 1 tengah hari hingga 3.15 petang.

"Dalam serbuan pertama, kami menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun di tempat letak kereta di sebuah kondominium di Cheras.

"Lanjutan tangkapan itu, kami melakukan dua lagi serbuan di sebuah rumah di kondominium sama yang membawa kepada penemuan 10 ketulan dadah jenis heroin base seberat 3.8 kilogram (kg) dan 10 ketulan dadah jenis syabu seberat 10 kg dianggarkan bernilai RM655,000.

"Satu lagi serbuan dilakukan di sebuah unit kondominium di Semenyih, Selangor dan merampas wang tunai berjumlah RM10,200," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, sindiket pengedaran dadah itu dikesan aktif sejak dua bulan lalu di sekitar Lembah Klang dengan menjadikan unit kondominium mewah sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum dijual kepada pembeli.

"Suspek adalah penjaga stor dan penghantar bekalan dadah kepada pelanggan menerima arahan daripada seorang lelaki tempatan bertindak sebagai ketua sindiket yang masih lagi dikesan.

"Siasatan lanjut juga mendapati suspek yang masih bujang itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai pendapatan utama.

"Semakan dilakukan mendapati suspek yang ditahan mempunyai masing dua rekod berkaitan jenayah dan dadah, manakala hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap lelaki terbabit didapati negatif dadah," katanya.

Beliau berkata, suspek terbabit direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu hingga 17 Ogos nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Dadah jenis heroin base seberat 3.8 kg dirampas itu sekiranya diproses dan menjalani beberapa kaedah serta campuran boleh menghasilkan sebanyak 31.5 kg dadah jenis heroin yang siap untuk digunakan oleh penagih dadah.

"Jumlah keseluruhan kedua-dua rampasan dadah jenis heroin base dan syabu terbabit mampu menampung penggunaan seramai 83,000 penagih dadah," katanya.

Beliau berharap supaya orang ramai terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis supaya kegiatan jenayah dan dadah di ibu kota ini dapat diambil tindakan sewajarnya bagi memastikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya selamat.

"Segala maklumat berkaitan dadah di ibu kota ini boleh disalurkan di talian JSJN melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222 yang beroperasi 24 jam sehari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 10:50 AM