MOHD Kamarudin menunjukkan barang rampasan pada sidang media di IPD Cheras. FOTO Fathil Asri
MOHD Kamarudin menunjukkan barang rampasan pada sidang media di IPD Cheras. FOTO Fathil Asri

Muhaamad Hafis Nawawi

[email protected]

Kuala Lumpur: Campur lebih lima jenis dadah berbeza dalam air jus sebelum dijual semula di pusat hiburan dan parti persendirian pada harga antara RM180 hingga RM300 sebotol.

Itu taktik sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak pertengahan tahun lalu dengan menjadikan kondominium mewah di Cheras dan Kajang sebagai lokasi pemprosesan dadah 'cocktail' itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, kegiatan itu dibongkar susulan tindakan JSJN melancarkan lima serbuan di sekitar Lembah Klang pada Selasa dan Rabu lalu.

Menurutnya, lima lelaki dan seorang wanita berusia 19 hingga 40 tahun dipercayai terbabit dengan aktiviti memproses serta mengedar dadah di pusat hiburan termasuk parti persendirian di sekitar Lembah Klang.

"Dalam operasi ini, polis merampas pelbagai dadah dianggarkan bernilai RM448,850 membabitkan 54,550 milimeter cecair disyaki dadah, 1.68 kilogram (kg) serbuk MDMA, 144 gram (g) ketamin, lima kilogram (kg) serbuk ekstasi, 550 biji pil Eramin 5 dan 2,900 biji pil ekstasi.

"Modus operandi digunakan sindiket adalah menjadikan kondominium mewah sebagai tempat memproses dan menyimpan bekalan dadah," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, dadah itu kemudian akan diedarkan di pusat hiburan sekitar Lembah Klang selain diedarkan kepada pelanggan yang menyertai aktiviti parti persendirian.

"Sindiket didalangi lelaki berusia 39 tahun itu mula aktif sejak pertengahan tahun lalu. Suspek menerima upah RM30,000 sebulan daripada sindiket.

"Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 apabila JSJN menyita pelbagai aset sindiket seperti kenderaan, wang tunai dan barang kemas bernilai RM489,408 dengan nilai keseluruhan rampasan RM938,258," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dah Berbahaya 1952 di mana suspek direman tujuh hari bermula Rabu lalu hingga 23 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 2:46 PM