Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kegiatan enam individu termasuk seorang wanita yang dipercayai mengedar dadah secara kecil-kecilan di sekitar Lembah Klang sejak tiga tahun lalu terbongkar selepas mereka ditahan polis pada 14 dan 15 April lalu.

Enam Individu berusia 20 hingga 45 tahun itu ditahan dalam lima serbuan berasingan di kawasan kondominium serta pangsapuri sekitar Lembah Klang menerusi Op Gaston bermula jam 9 malam hingga 5 pagi pada Khamis dan Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Jasmirol Jamaluddin berkata, enam individu yang ditahan itu termasuk dalang sindiket berkenaan yang juga seorang lelaki berusia 43 tahun.

"Dalam serbuan itu, kami merampas dadah jenis syabu seberat 3.2 kilogram (kg), heroin (8.4 kg), ganja (10.8 kg), pil erimin 5 (3,150 biji atau 0.9 kg) dan ketamin (365 gram).

"Keseluruhan dadah yang boleh dibekalkan kepada 48,594 penagih itu dianggarkan bernilai RM386,757. Kami turut menyita wang tunai berjumlah RM2,780," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Sebahagian dadah yang dirampas pada sidang media. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Sebahagian dadah yang dirampas pada sidang media. FOTO HAZREEN MOHAMAD

Jasmirol berkata, sindiket itu dipercayai mendapat bekalan dadah di sekitar Lembah Klang sebelum dijual secara kecil-kecilan kepada pelanggan tetap sejak tiga bulan lalu.

"Modus operandi sindiket ini adalah menjual beberapa jenis dadah berkenaan secara kecil-kecilan kepada pelanggan tetap mereka di tepi jalan, hotel bajet serta pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

"Hasil ujian saringan awal air kencing yang dilakukan mendapati empat daripada enam suspek berkenaan positif dadah jenis methaphetamin dan ganja.

"Semakan dilakukan mendapati tiga daripada mereka turut memiliki rekod jenayah," katanya.

Beliau berkata, semua suspek terbabit direman selama tujuh hari bermula 15 hingga 21 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 12:49 PM