Raja Noraina Raja Rahim

Petaling Jaya: Hanya dalam tempoh enam bulan, seorang pengedar dadah memperoleh pendapatan lumayan hasil aktiviti pengedaran secara besar-besaran yang dilakukan di sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun, kegiatan jenayah lelaki berusia 34 tahun itu berakhir apabila ditahan bersama lebih 11 kilogram dadah jenis ketamin dianggarkan bernilai RM611,511 pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek ditahan hasil serbuan sepasukan anggota anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hasil maklumat dan risikan dilakukan.

"Polis menahan kereta Proton Saga dipandu suspek di tepi Jalan Gasing, Seksyen 10 pada 3.30 petang dan pemeriksaan di tempat duduk penumpang belakang menemui satu beg berisi tiga peket plastik mengandungi serbuk putih disyaki ketamin dengan anggaran berat 3,038 gram.

"Dalam pemeriksaan sama, polis turut menemui pelbagai barangan peribadi suspek termasuk cincin emas dan wang tunai berjumlah RM600," katanya dalam sidang media di IPD Petaling Jaya, di sini, hari ini.

MOHAMED Fakhrudin (dua kiri) menunjukkan bekalan dadah yang berjaya dirampas pada sidang media rampasan dadah bernilai RM611,515 di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. FOTO Hazreen Mohamad
MOHAMED Fakhrudin (dua kiri) menunjukkan bekalan dadah yang berjaya dirampas pada sidang media rampasan dadah bernilai RM611,515 di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. FOTO Hazreen Mohamad

Beliau berkata, susulan penahanan itu, polis menyerbu rumah sewa suspek di Cheras, Selangor dan menemui beberapa paket dadah jenis ketamin dianggarkan seberat 8,500 gram.

Katanya, polis turut menemui pelbagai peralatan termasuk mesin pembungkusan disyaki digunakan untuk membungkus dadah sebelum dijual kepada pihak lain.

"Secara keseluruhan dadah (ketamin) yang dirampas sebanyak 11,538 gram dianggarkan bernilai RM611,511 manakala nilai sitaan barangan berjumlah RM2,600.

"Soal siasat mendapati suspek yang mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah kembali bergiat aktif mengedar dadah sejak enam bulan lalu.

"Dadah berkenaan dijual dalam jumlah besar, bukan kepada penagih secara kecil-kecilan. Namun, daripada jumlah rampasan itu, kita menganggarkan ia boleh dibekalkan kepada 11,500 penagih," katanya.

Ditanya dari mana bekalan dadah diperoleh, Mohamad Fakhrudin berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara itu termasuk kemungkinan suspek terbabit sindiket tertentu.

Katanya, suspek direman tujuh hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 2:55 PM